Friday, August 4, 2017

Kuasa Doa

Pada hari kedua program perkhemahan pengakap Daerah Muar, seawal jam 6.00 pagi hujan turun sangat lebat. Kawan saya beritahu. Waktu itu saya diulit lena yang nyenyak, mana tidaknya oleh dek kepenatan kerana program pada malam pertama tamat pada lewat malam.

Saya dan seorang rakan (Ain – rakan dari sekolah lama saya) datang ke tapak perkhemahan pada jam 7.30 pagi untuk melihat keadaan khemah anak-anak murid kami.  Hampir 4 hingga 5 buah khemah rosak. Patah rangka besi, zip pintu khemah rosak dan air membanjiri dalam khemah. Hiba dan risau melihat keadaan khemah.

Selepas waktu sarapan, aktiviti tetap berjalan seperti biasa. Beberapa ‘check-point’ perlu dilalui oleh peserta. Walaupun hujan tidak mahu menunjukkan ciri-ciri mahu berhenti, peserta tetap melakukan aktiviti dengan gembira dan cemerlang. Jarak di antara setiap ‘check-point’ hanya sekitar 5 meter sahaja. Memakai stoking dan kasut basah serta baju yang lembab, saya sangat risaukan kesihatan mereka kerana imun mereka ini tidak seperti pelajar-pelajar normal. Mereka senang mendapat deman, selsema dan batuk.

Sudah tiba waktu makan tengahari, selepas makan mereka bergegas ke tapak perkhemahan untuk melihat keadaan khemah. Hairannya mereka tidak merungut dan marah-marah lansung cuma mengadu tentang khemah mereka yang rosak dan pakaian-pakaian mereka basah. Pelajar sekolah menengah membuat ampaian untuk menyidai pakaian, tuala dan selimut yang basah. Mereka ini tidak mementingkan diri dengan membantu adik-adik dari sekolah mengurus khemah dan berkongsi ampaian. Ruginya, gambar ampaian ini saya tidak ambil kerana sibuk membantu murid-murid yang lain menguruskan khemah mereka.

Risau saya. Bagaimanalah mereka mahu menghadapi hari esok dengan pakaian uniform yang basah. Saya minta 3 orang anak murid saya ini membasuh kepala sampai air meresap ke kulit kepala dan minta mereka minum minuman 100plus yang saya sediakan. Seingkali saya berpesan supaya minum air mineral banyak-banyak dan jangan mengelak dari makan nasi.

Langit pula masih mendung, hujan renyai. Waktu itu sudah masuk Zuhur. Saya ingatkan murid saya supaya berdoa, minta Allah hentikan hujan dan keluarkan matahari. Keringkan khemah dan baju. Masing-masing (peserta) bersiap sedia mahu bersolat, sambil saya bergerak bersama mereka, saya berpesan hal yang sama seperti anak murid saya. Berdoa. Sesungguhnya doa kamu semua sangat mustajab.


Ya. Hujan pun berhenti dan matahari muncul. Malam itu, mereka dapat tidur di dalam khemah masing-masing. Mana khemah yang rosak, ada yang diganti kepada khemah yang baru dan ada pula hanya berkongsi khemah dari sekolah yang lain. **Selepas ini, saya mahu lebih kerap tumpang doa mereka, untuk doa yang baik-baik sahaja.




No comments:

Post a Comment