Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Friday, August 4, 2017

ABC. Belanja dan Sedekah


Semalam tamat program. Alhamdulillah.. Semuanya berjalan dengan cemerlang. Tahniah kepada pengurusan dan semua yang terlibat. Seronok bertemu rakan-rakan dan berkenalan rapat dengan rakan-rakan baharu. Saya gembira.
***
Saya berjanji kepada 3 orang murid untuk belanja makan ABC jika mereka semua berkelakuan baik. Alhamdulillah.. Mereka mengikut kata dan sangat cemerlang mengurus diri. Begini rasanya nikmat menjadi seorang ibu. Saya agak begitu. Kita akan risau tentang
Apa yang dia makan?
Bagaimana dia tidur?
Pukul berapa dia akan bangun untuk mandi?
Baju apa yang dia akan pakai?
Fahamkah dia dengan arahan orang lain?
Bagaimana mereka menjaga sesama sendiri?
Itu yang sentiasa saya fikir dan saya yakin juga mereka yang berjaga untuk murid-murid di sepanjang program ini melalui perasaan yang sama.
***
Pulang dari program tersebut, saya singgah di warung yang menjual ABC. Kami makan ABC "special" ( Tidak dapat ambil gambarnya kerana telefon saya kehabisan bateri ) Kami berbual- bual tentang pengalaman selama 3 hari 2 malam berada di sana. Cerita kelakar semuanya, yang misteri juga ada. Saya lihat pemilik warung dan isterinya curi-curi mendengar kerana mereka juga turut gelak dengan cerita anak-anak saya.

Waktu saya mahu membayar, pemilik gerai tidak mahu duit yang saya beri. Dia kata sedekah. Saya menolak sebab niat saya mahu belanja mereka.

Dia membalas
 "Tak apa, saya pula niat belanja akak dan anak-anak akak."
Alhamdulillah.. Saya tumpang rezeki mereka bertiga. Saya minta anak-anak saya mengucapkan terima kasih dan mendoakan agar pemilik kedai dimewahkan rezeki dan terus berjaya.

Dalam perjalanan pulang, salah seorang anak saya berkata begini,
"Ini kali pertama orang belanja saya makan, selama ini tak ada pun orang belanja kita makan dekat warung,"

Saya menjawab,
"La.. Awak bayar sendiri ya?"

"Taklah cikgu, mak dengan ayah saya yang bayar,"
Jawab dia.

Balas saya.
"Itu pun boleh disebut belanja juga, sebab awak tak keluarkan duit. Mak dan ayah awak yang keluarkan duit,"


" Ye ke?"

Kuasa Doa

Pada hari kedua program perkhemahan pengakap Daerah Muar, seawal jam 6.00 pagi hujan turun sangat lebat. Kawan saya beritahu. Waktu itu saya diulit lena yang nyenyak, mana tidaknya oleh dek kepenatan kerana program pada malam pertama tamat pada lewat malam.

Saya dan seorang rakan (Ain – rakan dari sekolah lama saya) datang ke tapak perkhemahan pada jam 7.30 pagi untuk melihat keadaan khemah anak-anak murid kami.  Hampir 4 hingga 5 buah khemah rosak. Patah rangka besi, zip pintu khemah rosak dan air membanjiri dalam khemah. Hiba dan risau melihat keadaan khemah.

Selepas waktu sarapan, aktiviti tetap berjalan seperti biasa. Beberapa ‘check-point’ perlu dilalui oleh peserta. Walaupun hujan tidak mahu menunjukkan ciri-ciri mahu berhenti, peserta tetap melakukan aktiviti dengan gembira dan cemerlang. Jarak di antara setiap ‘check-point’ hanya sekitar 5 meter sahaja. Memakai stoking dan kasut basah serta baju yang lembab, saya sangat risaukan kesihatan mereka kerana imun mereka ini tidak seperti pelajar-pelajar normal. Mereka senang mendapat deman, selsema dan batuk.

Sudah tiba waktu makan tengahari, selepas makan mereka bergegas ke tapak perkhemahan untuk melihat keadaan khemah. Hairannya mereka tidak merungut dan marah-marah lansung cuma mengadu tentang khemah mereka yang rosak dan pakaian-pakaian mereka basah. Pelajar sekolah menengah membuat ampaian untuk menyidai pakaian, tuala dan selimut yang basah. Mereka ini tidak mementingkan diri dengan membantu adik-adik dari sekolah mengurus khemah dan berkongsi ampaian. Ruginya, gambar ampaian ini saya tidak ambil kerana sibuk membantu murid-murid yang lain menguruskan khemah mereka.

Risau saya. Bagaimanalah mereka mahu menghadapi hari esok dengan pakaian uniform yang basah. Saya minta 3 orang anak murid saya ini membasuh kepala sampai air meresap ke kulit kepala dan minta mereka minum minuman 100plus yang saya sediakan. Seingkali saya berpesan supaya minum air mineral banyak-banyak dan jangan mengelak dari makan nasi.

Langit pula masih mendung, hujan renyai. Waktu itu sudah masuk Zuhur. Saya ingatkan murid saya supaya berdoa, minta Allah hentikan hujan dan keluarkan matahari. Keringkan khemah dan baju. Masing-masing (peserta) bersiap sedia mahu bersolat, sambil saya bergerak bersama mereka, saya berpesan hal yang sama seperti anak murid saya. Berdoa. Sesungguhnya doa kamu semua sangat mustajab.


Ya. Hujan pun berhenti dan matahari muncul. Malam itu, mereka dapat tidur di dalam khemah masing-masing. Mana khemah yang rosak, ada yang diganti kepada khemah yang baru dan ada pula hanya berkongsi khemah dari sekolah yang lain. **Selepas ini, saya mahu lebih kerap tumpang doa mereka, untuk doa yang baik-baik sahaja.




Monday, June 5, 2017

Latihan Tubi 44 Entri


          Ia menjadi satu peluang yang bertuah bagi saya apabila diberi peluang oleh Puan Masayu Ahmad selaku mentor dan pengasas  Tutorial Asas Blog dan Penulisan ( TABDP ) untuk menulis dan duduk bersama-sama penulis-penulis blog yang lain. Akhirnya saya lengkap membuat latihan tubi 44 entri. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah. Terima kasih sifu.

            Pada awalnya saya memang berasa kecewa apabila tidak pandai membuat blog dengan baik. Banyak sebenarnya yang perlu saya teroka dan akhirnya memilih untuk berputus asa malah tidak melakukan sebarang  latihan seperti yang dikehendaki. Sebuah buku catatan  saya catat setiap info dari grup TABDP  sebagai ulangkaji dan sebuah lagi buku nota untuk catatan harian. Adakalanya catatan harian saya tidak konsisten menulis kerana kekurangan idea.  Agak lama saya tinggalkan blog ini.

            Entah bagaimana ketika mencari ‘dokumen’ di dalam laptop, sambil mengemaskini fail-fail, saya terjumpa satu fail di atas nama ‘My Blog Nizarinaabubakar@gmail.com’ . Kemudian buka dan baca apa yang telah ditulis, lebih kurang 5 entri telah dicatatkan. Diri sendiri juga terlupa yang telah menulis entri sebanyak itu.

            Orang yang membantu saya membuat blog adalah rakan sekerja saya. Seorang guru yang baru berpindah masuk, seorang yang  mempunyai daya pemikiran yang lebih dewasa jika mahu dibandingkan dengan umurnya yang masih muda.  ‘Post’ pertama di dalam  blog saya adalah tulisan daripada beliau. Katanya sebagai pemangkin semangat  kepada saya yang perlu berusaha mencantikkan blog.
****
           Menulis bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi tulisan yang  dibaca oleh masyarakat umum. Apa yang kita tulis, kita perlu tanggung akibatnya. Menulis perkara yang baik maka perkara yang baik akan datang kepada kita. Jika menulis perkara yang tidak baik dan menyebabkan fitnah malah penulsan tidak baik itu menjadi ikutan atau kepercayaan ia adalah dosa yang perlu ditanggung oleh penulis bukan sahaja di dunia malah pada hayat yang akan datang.

            Tutorial Asas Blog dan Penulisan bukan sahaja hanya sekadar mencapai matlamat menulis sebanyak 44 entri, tetapi ia menzahirkan sesuatu untuk  saya kongsikan sebagai pembacaan dan kenangan.

            Semasa memulakan penulisan (saya menyambung penulisan yang lama) memang saya mengalami sedikit kesukaran. Saya mahu menulis sesuatu yang mudah difahami dan tidak jemu apabila dibaca serta bersama-sama berkongsi rasa apa yang  mahu disampaikan.  Selain itu, ia juga menjadi salah satu platform mempromosikan diri dengan percuma dan  salah satu cabangan mengembangkan bakat atau perniagaan yang kita usahakan.

            Memulakan menulis secara konsisten pada awalnya memang agak susah, idea menulis juga terbatas, ini adalah kerana ia bukanlah satu rutin yang selalu kita lakukan. Menulis secara fokus dan konsisten memerlukan displin yang tinggi. Lama-kelamaan ia menjadi satu perkara baharu yang kita sentiasa mahu buat, berpandukan menulis (tulisan tangan) catatan harian di dalam buku nota dan kemudiannya di pindahkan ke dalam blog, kita memperoleh rentak untuk menulis. Tinggalkan dahulu kesilapan dari segi tatabahasa dan penyusunan ayat,  semakin banyak yang kita menulis, semakin banyak yang akan kita belajar.

            Pepatah ada menyebut, latihan yang berulang akan menjadikan ia sempurna. Pada saya itu agak tidak relevan. Jika latihan yang berulang tanpa membetulkan apa yang salah, ia tidak akan menjadi sempurna. Ini yang saya belajar di dalam TABDP. Saya belajar sambil menulis. Jika di baca penulisan saya dari awal, memang terdapat banyak kesilapan dan saya masih tidak jemu untuk belajar.

           Banyakkan membaca buku ilmiah juga dapat membantu kita menulis dan membaca blog dari penulis yang lain juga dapat memberikan kita idea, apa yang mahu dan perlu kita tulis.

            Kini saya masih lagi menulis dengan konsisten di dalam buku catatan harian  dan ia menjadi satu keresahan apabila tidak menulis. Semoga saya terus istiqamah menulis perkara yang baik-baik selain mempromosi bakat kecil saya kepada umum. Matlamat saya ialah menulis untuk saham akhirat.

            Terima kasih sifu dan rakan-rakan yang bersama-sama memberikan sokongan sehingga wujudnya blog saya ini. Semoga Allah melimpahkan segala Rahmat-Nya dan Keredaan-Nya atas setiap apa yang kita tulis.

Ini buku catatan harian saya yang di bawa ke mana-mana sahaja.

Ini di antara isi kandungan di dalam buku catatan harian
               
Buku Nota dan Rujukan



Buku Nota dan rujukan

Saturday, June 3, 2017

Bola Jaring dan Stamina

            Saya dipelawa untuk bermain bola jaring mewakili sekolah bagi perlawanan untuk hari guru. Mula-mula sedikit ragu, takut saya tidak mampu berlari pantas dan bermain dengan cekap di samping usia saya yang semakin meningkat dewasa.

            Dahulu semasa di sekolah menengah, saya memang tidak ada kemahiran dalam bermain bola jaring, hanya sekadar mencukupkan korum bermain bersama pasukan yang terpilih. Dapat pegang bola sekejap pun sudah cukup bagus. Maklumlah yang bermain dengan kita pun bukan calang-calang orangnya.

            Saya pula jarang bersenam, kalau berlari pun setakat 50meter itu pun sudah rasa penat. Lagilah jika berzumba. Memang terasa perit urat dan sendi.

            Akhirnya saya ambil keputusan untuk menjadi pemain. Biasanya orang yang tidak hebat bermain seperti saya lebih baik ambil kedudukan yang tidak banyak berlari, iaitu GK (Goal Keeper). Tugas Goal Keeper mengahalang daripada bola sampai kepada GA  ataupun GS dan juga menghalang bola daripada memasuki gawang lawan.

            Semasa hari kejadian, belum pun berlawan, saya sudah ke tandas. Gerun melihat pemain dari pihak lawan. Cergas dan tangkas, dibandingkan saya yang mempunyai susuk tubuh yang gempal.


            Mujur tempoh perlawanan 7-1-7 (Tujuh minit bermain, satu minit rehat, Tujuh minit lagi untuk pusingan kedua). Saya bermain sebagai GK dari awal perlawanan sehinggalah pasukan yang terkakhir. Kami menang hanya satu perlawanan dari 3 perlawanan. Alhamdulillah... 

Bertahanlah Kau Ada Tuhan

            Acapkali apabila berlaku sesuatu yang kita tidak ingini, takdir yang akan disalahkan dahulu. Sedangkan kita tahu hakikatnya setiap perkara sudah tertulis buat kita sejak dari azali kecuali dengan izin Allah sesuatu yang mustahil bagi kita dan tidak mustahil bagi Allah akan juga berlaku.

            Apabila bercakap tentang agama, sudah tentu saya tidak mahir tentang itu. Kefahaman tentang takdir dan ketentuan Allah itu secara insaniahnya kita akan ketahui sendiri sebagai hamba Allah yang diciptakan kita untuk mengagungkanNya.

            Kadangkala ada beberapa perkara yang saya rasakan tidak adil bagi seseorang itu untuk menghadapinya. Mengapa begitu? Kenapa tidak begini? Kenapa dia? Kenapa aku?

            Bahayanya apabila kita letak buruk sangka terhadap Allah swt. Apa yang diputuskan Allah pada kalamNya kesemuanya adalah benar. Setiap yang Allah sediakan untuk kita juga benar.

            Jika kita kecewa, jangan letak kekecewaan itu kepada Allah. Apabila kita mengalami kesusahan, jangan letakkan kesusahan itu kepada Allah, mengadulah dan berserahlah kepadaNya. Berdoalah dengan perkataan yang baik-baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

            Tidak mungkin Allah akan memberikan keburukan setelah kita berdoa tentang kebaikan. Setiap apa yang berlaku, muhasabah diri tentang perkara lalu dan sedang kita lakukan. Kesilapan tetap ada pada kita. Sebaik-baik Pencipta hanyalah Allah.

            Menyedari tentang kekurangan diri, saya menulis tentang ini. Kekecewaan yang saya pendam bertahun lamanya. Saya telah buang perlahan-lahan. Siapa saya untuk menghukum ketentuan Allah? Siapa saya untuk menolak takdir Allah? Terlupa tentang itu, sesungguhnya tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izinNya, Maha Suci Allah.

            Bertahanlah dengan ujian Allah. Dia berhak menguji kita. Berdoalah agar hati tidak berbolak balik dan kembali semula  kepada Allah. Tidak sesekali, tidak terlepas sesaatpun Allah merindui doa yang dititip hamba-Nya

            Terima kasih Allah..  Kerana sentiasa memberi peluang untuk saya berada dekat dengan Mu dan berikan saya ilham dan keizinan untuk melukis dan menulis.

            



Tuesday, May 30, 2017

Majlis Aqiqah Anak Saudara

Majlis Aqiqah anak saudara saya, berlansung di rumah ayah dan bonda. Adik (Uda-Adik ketiga)  mahukan majlis itu dipasang buaian dan dihias supaya kelihatan cantik dan menarik, sebagai seorang kakak saya bersetuju untuk membantu menyediakan buaian yang berkonsepkan taman.
            Sebelum membuat kerja yang melibatkan seni ini, kebiasaanya saya akan membuat carian di internet. Mahu mengambil sedikit ilham untuk dijadikan sebagai panduan.
            Saya menggunakan bahan yang mudah untuk membuat tirai, iaitu
  1.   Menggunakan ampaian kain
  2.    Langsir lama mak
  3.    Jarum dan Benang
  4.   Kertas A4 untuk bunga hiasan


            Setiap perincian yang saya buat, saya akan merujuk semula kepada adik. Memastikan dia berpuas hati dengan hasil kerja saya. Jika tidak, saya akan ubah seperti yang dimahukan.
            Majlis-majlis aqiqah sebelum ini diuruskan oleh adik saya yang kedua. Dia memang sangat mahir dalam menyusun atur dan tatarias, oleh kerana dia terikat dengan kelas hujung minggu, dia pulang pada hari kejadian.

            Alhamdulillah.. Setelelah jerit perih membuat tatarias dan beberapa kali mengubah susun atur, adik berpuas hati, yang hadir ke majlis pada hari tersebut sampai salah sangka, mereka ingatkan ada majlis pertunangan. Mujur ada buaian sebagai tanda di ruangan tengah.



Bunga dibahagian luar itu saya lukis. Tulisan pula saya menggunakan font Words

Kita Tahu Kita Ini Siapa

Kita paling takut apabila orang melihat kita seorang yang tidak baik dan membawa pengaruh negatif kepada yang lain, sedangkan kita tidak berbuat demikian.
Dan yang paling-paling takut apabila orang melihat kita sebagai seorang yang sangat baik dan sangat berpelajaran tetapi hakikatnya, kita hebat berkata seperti nabi-nabi tetapi amalan seperti labi-labi.
Mencorak diri kita adalah kita sendiri, mungkin sedikit, mungkin juga banyak dipengaruhi oleh orang lain.
‘Cermin diri sendiri ‘ itu kita tidak perlu ajukan kepada orang lain, tetapi lebih baik kepada diri kita sendiri. Kita lebih banyak mengetahu tentang diri sendiri berbanding dengan orang lain, belum terlambat lagi jika kita mempunyai ruang masa yang banyak untuk berubah. Sekalipun ruang masa itu kecil, itu bukan alasan untuk tidak berubah.
Perkara yang baik yang datang dalam diri akan membawa aura yang positif kepada orang lain. Kita tidak rugi, orang yang bersama kita selesa.
            ****
Selamat menjadi diri sendiri


Monday, May 29, 2017

Majlis Lambaian Kasih

Terima kasih kepada guru dan kakitangan, sahabat dan kekanda-kekanda yang telah mengadakan majlis lambaian kasih bersempena perpindahan saya ke sekolah baharu. Berkongsi majlis perpisahan Cikgu Halim dan persaraan Guru Besar serta GPK 1.
Rasa malu menebal sebenarnya setelah lama tidak bertemu dengan mereka. Kembang dan tidak boleh pula menguncup saya menahan rasa segan.
Perkara paling membuat rasa hati tidak keruan, diletakkan saya semeja dengan Guru Besar sekeluarga dan GPK 1 sekeluarga. Mati kata-kata saya dihadapan mereka.
Nasib baik saya makan kenyang, yang bahagian ini saya mampu tangani. Hahaha...Okey berbalik kepada majlis tersebut, saya kebuntuan menyediakan teks. Sungguh saya tidak perasan saya akan berucap dihadapan mereka semua. Kaku. Bila diingat-ingat kembali, merapu sungguh teks saya.
Ucapan ribuan terima kasih di atas pemberian hadiah yang bermakna. Hari guru, terima almari kecil. Majlis perpisahan dihadiahkan pula kipas meja yang cantik. Memang kedua-duanya saya sangat memerlukan. Kebetulan.
           Terima kasih Allah kerana semuanya kelihatan teratur.
Terima kasih kepada kalian yang bersusah payah menyediakan dan mempersiapkan dengan hal yang indah-indah. Semoga Allah membalas keiklasan kalian.

Maafkan saya kegugupan berucap waktu itu.
Guru Besar seorang lelaki, kalau mahu tahu yang mana satu dia. Itu.. Ha.. Yang buat bentuk hati. :)

Tapis Nenek Di Buat Sauk Ikan

Kenangan.

Asalnya saya tidak tahu parit di hadapan rumah nenek saya ada ikan laga hidup sihat dan membiak dengan baik. Sepupu lelaki sebelah ayah memancing di parit tersebut. Tidak dapat seekor pun ikan besar. Katanya, cuma terdapat ikan kecil-kecil sahaja.

Saya minta dia tangkapkan ikan kecil. Mahu lihat. Dia pun masuk ke dalam parit dan sauk menggunakan tangan. Mudah sungguh untuk menangkap ikan ini. Pertama kali melihat, saya teruja. Warna ikan itu sangat cantik dan berkilat dan misi menangkap menjadi serius.

Habis tapis nenek kami gunakan untuk menyauk ikan kecil ini. Mulanya saya meminta sepupu lelaki menangkap ikan-ikan ini lebih banyak. Lama-kelamaan saya pun turut serta masuk ke dalam parit. Sauk sekali.

Marah nenek bukan kepalang, mananakan tidak, habis tapisnya kami gunakan untuk dibuat sauk. Ikan-ikan kecil yang kami tangkap di pulangkan semula ke parit. Nenek kami kata, baik lepaskan dari dibuat main sampai mati.

Kini nenek terlantar sakit kerana dimamah usia tua. Walaupun begitu, nenek tidak lansung meninggalkan solat. Cuma mata nenek kabur dan telinganya tidak dapat menangkap suara dengan jelas.


Sentiasa mendoakan nenek dipermudahkan urusan olehNya.


Bawalah bunga sakura balik!

           Adik akan membawa keluarganya bercuti ke Jepun. Perkara pertama yang saya minta ialah meminta dia membawa balik beberapa kuntum bunga sakura untuk saya buat sebagai penanda buku. Tidak dapat ke sana, memiliki bunga dari Negara tersebut sudah memadai bagi saya.

            Adik saya kata, bunga sakura apabila jatuh ke bumi akan berkecai. Cuma dua kuntum sahaja yang dibawa balik untuk saya sebagai hadiah dari sana. Sepanjang dia menceritakan keadaan negara matahari terbit itu, sudah mengkagumkan saya. Mereka di sana sangat ramah dan berdisplin serta sangat menghargai tetamu. 

            Misteri juga menyelubungi mereka semasa menetap disalah sebuah rumah penginapan di Jepun, yakin dengan perlindungan daripada Allah, keadaan itu hanya berlaku pada hari pertama mereka disana. Hari kedua dan seterusnya tidur mereka tidak digangu.

            Cantiknya negara Jepun bukan sahaja pada teknologi dan infrastruturnya sahaja, keindahan pada budi bahasa dan kecantikan semulajadi apabila musim tiba musim bunga menambah daya tarikan kepada negara matahari terbit itu. Di sana, apabila bunga sakura berkembang, mereka mengadakan pesta seperti berkelah bersama-sama ahli keluarga dan hiburan di sana.

            Ternyata keadaan itu sangat menyeronokkan.


            Saya pun ada mencuba untuk melukis gambar bunga sakura. Entah jadi, entahkan tidak. Sipi-sipi serupa bunga sakura pun kira okeylah. Haha...


Hidup Ini Perlu Ada Keputusan



            Masih cekal diingatan saya seorang kaunselor berpesan supaya sentiasa mengambil kira hasil yang kita buat walaupun sebesar sengengam tangan. Usaha yang sedikit itu perlu kita anggap sebagai kejayaan jika akhirnya matlamat yang kita mahu itu gagal dipenghujungnya. Gagal sekali tidak bermaksud kita akan gagal selamanya, selagi kita bangkit, berdiri, berjalan dan berlari selepas jatuh, kejayaan akan tetap menghampiri.

            Ketika saya melukis doodle ini, awal-awal lagi saya sudah mahu berputus asa. Pada pandangan saya, ia tidak kelihatan menarik dan bunga yang saya lukis seperti tidak menjadi. Terus jalan dan lukis, mengajar tangan untuk berlatih dan tidak malas, kerah idea agar lukisan ini tidak siap separuh jalan.

Di dalam hidup ini ada satu sahaja keputusan yang kita boleh buat di antara kita mahu atau tidak mahu, kita boleh atau tidak boleh, teruskan atau berhenti. Tidak akan berlaku dua kemahuan dalam satu keputusan. Begitu juga dalam organisasi di mana tempat kita bekerja ataupun berkumpulan. Maka, jadilah orang yang bijak untuk mencapai matlamat tanpa memberi mudarat kepada diri sendiri dan orang disekeliling kita.


Hidup perlu ada keputusan.


Hadiahkan Saya Sebuah Buku

Saya mendapat surat bertukar ke tempat lain dan perlu melaporkan diri dalam tempoh seminggu. Sugul menerima surat perpindahan dan bermacam perkara saya bayangkan. Perkara pertama yang saya khuatirkan adalah penerimaan mereka dengan kehadiran saya di sana nanti.

            Mulalah bermacam perihal soalan yang tidak berjawab, bagaimana pengurusannya? Bagaimana pula keadaan kelas? Murid? Guru-guru dan sebagainya saya fikirkan. Saya akui saya bukanlah seorang yang peramah dan mudah mesra. Adakalnya saya menjadi sangat pendiam apabila bercampur dengan orang-orang baharu. Malahan saya tidak pandai memulakan bicara. Kalau diam orang itu, diamlah saya.

            Anehnya saya hanya mesra kepada mereka yang kecindan. Rasa selamat dan seronok itu ada. Tidak perlu banyak berbicara hanya gelak tawa sudah menjadikan kami mesra. Sebelum saya berpindah ke tempat baharu, sudah saya maklumkan kepada mereka agar tidak membuat majlis perpisahan kepada saya. Cukuplah sekadar memberikan saya sebuah buku.

            Menjadi kenyataan apabila saya menerima hadiah sebuah buku daripada seorang sahabat. Asalnya saya berniat untuk berpindah tanpa diadakan sebarang majlis dan tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak waima rakan sekelas saya sendiri, dalam erti kata lain, saya mahu mengelak dari memberi ucapan dihadapan khalayak ramai. Gugup, kacau, haru-biru dan minda saya menjadi beku dan kosong.

            Cukuplah sekadar memberi sebuah buku, itu sudah memadai bagi saya untuk dijadikan sebagai kenangan. Walaupun bagaimanapun, keinginan untuk mengelak dari mengadakan majlis tidak kesampaian, majlis perpisahan tetap dijalankan, bertukus lumus rakan sekelas menyediakan pelbagai rancangan untuk menjayakannya. Lebih sayu, mereka menjemput ibu bapa bekas anak-anak murid saya dan pelajar sekolah menengah yang pernah menjadi anak murid saya dahulu.

            Kononnya saya mahu menahan air mata, buat seperti tidak ada apa-apa, mahu semuanya kelihatan baik. Mana mungkin saya mampu menolak untuk menahan kesedihan. Sepanjang perjalanan pulang dari sekolah saya menangis. 

Betapa tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat pertama saya diarahkan untuk bertugas. Ketika saya menulis tentang kisah ini, buku ini masih belum sempat saya membacanya.
Cantik kawan saya lukis



Lari.. Lari

            Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama saya menyertai Larian Maharani Bandar DiRaja Tahun 2017. Dahulu masa di sekolah rendah dan menengah saya menyertai larian merentas desa, itupun kerana terpaksa, Jika tiada alasan yang kukuh mahu diberikan kepada guru, sudah tentu kami akan didenda.

            Oleh kerana rakan saya memberitahu, hadiah wang tunai agak lumayan akan menjadi taruhan dari tempat pertama sehingga tempat ke 10. Sebelum hari kejadian, saya memasang azam kononnya mahu capai matlamat untuk mendapatkan kedudukan sekurang-kurangnya ditempat yang  ke 10.

            Pada hari kejadian, setibanya digarisan permulaan, azam saya sedikit goyah. Peserta-peserta yang hadir menyertai bukan calang-calang orangnya. Minah dan Mat Salleh pun turut sama menyertai. Pelari yang lain pula, saya lihat mereka memiliki jauh lebih handal berbanding saya.

            Tiupan wisel bermula, saya orang yang paling kebelakang berlari. Belum pun sampai mencecah 500 meter saya mula terasa penat dan kaki semakin berat. Kononnya mahu mendapat tempat yang kesepuluh, harapan hancur berkecai menjadi debu dan berterbangan jauh ditiup angin. Saya tabahkan juga untuk berlari, berjalan, berlari dan kemudian berjalan kembali. Paling tidaknya, saya akan berlari sedikit laju apabila polis atau pegawai yang bertugas menjaga laluan lalu lintas meniup wisel dan melambai-lambai tangan sebagai isyarat untuk segera melintas. Fuh! Degupan jantung saya kencang 3 kali ganda laju dari kebiasaannya.

            Setelah hampir 6 kilometer (jarak larian 10 kilometer), saya diminta untuk menaiki trak Majlis Perbandaran kerana masa saya melebihi tempoh polis berkawal. Mahu tidak mahu terpaksalah juga saya akur. Hajat saya, mahu sampai ke garisan penamat walaupun kedudukan saya ketika itu paling akhir sekali (bagi kategori dewasa terbuka).


            Bukan azam untuk menduduki tempat yang ke sepuluh terkubur, bahkan untuk tampil kegarisan penamat juga lebur. Kemudian gagah menunggu sehingga acara tamat kerana ada cabutan bertuah untuk peserta.  Juga tidak ada rezeki. Saya ambil pendekatan untuk hari  itu adalah hari saya menimba pengalaman.


Dia tanya, sedih-sedih itu macamana?

          Pagi ini kami bermain permainan badminton, sudah lama juga saya tidak memegang raket badminton. Baru beberapa minit bermain saya sudah keletihan dan berpeluh-peluh. Tidak sangka ada dikalangan mereka punya pukulan sampai ada yang tidak mampu saya sambut dan balas semula.

            Usai tamat waktu senaman, kami masuk ke kelas seperti biasa untuk waktu matapelajaran yang lain pula. Setibanya di kelas, Hanis mengadu kepada saya, bulu tangkisnya tersangut di bumbung pakir kereta semasa bermain bersama Yani.

            Saya beritahukan kepadanya, ia tidak apa-apa dan bulu tangkis tersebut akan jatuh sendiri apabila angin kuat meniupnya nanti. Untuk meyakinkan lagi saya kata begini,

“Awak jangan sedih-sedih, nanti kita boleh dapatkan semula. Sekiranya kalau tidak dapat semula pun tidak mengapa. Lagipun bukan awak dan Yani sengaja.”

Dia bertanya kembali.

“Sedih-sedih itu macamana cikgu?”

Saya jelaskan.

“Sedih-sedih itu antara awak mahu menangis dengan tidak mahu menangis,”

Dia berkata.

“Saya tidak rasa mahu menangis, cikgu,”
***
            Lukisan juga melahirkan perasaan, bergantung kepada pelukis yang menzahirkan ke atasnya. Kadangkala perasaan dihamparkan melalui lukisan, adakalnya pula sekadar melukis sekadar untuk suka-suka, tetapi kedua-dua keadaan ini akan tetap melahirkan satu rasa kepada yang melihat.


            Perasaan lukisan tidak akan sama seperti yang dilihat oleh penonton, ada sekadar melihat ia cantik, ada yang memahami maksud yang tersirat, ada juga yang melihat jauh pemikirannya daripada pelukis yang melukis. Persamaan perasaan itu tidak selalunya sama. 
Dia Maha Pemberi Ilham

Itew Nak Jaws

           Pada tahun pertama saya bekerja bersama anak-anak istimewa, kami telah merancang satu program Ziarah rumah ke rumah murid semasa bulan Syawal. Ia bertujuan memberikan pendedahan murid kepada masyarakat dan pembelajaran dan pengajaran dari segi tingkah laku iaitu adab ketika berkunjung ke rumah orang.

            Kami dan guru mengambil peluang pada bulan Ramadhan untuk mengajar mereka Marhaban. Pada awalnya kami memang menghadapi sedikit masalah, tetapi itu bukan halangan untuk murid-murid belajar. Walaupun sedikit sahaja bacaan marhaban itu mereka dapat ikuti, itu sudah cukup memadai.

            Kami juga mengajar murid adab memasuki, ketika berada di dalam rumah dan pulang dari rumah yang dikunjungi, dari seawal memberi salam, ketika mengambil dan makan juga setelah menerima “duit raya”

            Mungkin kerana pertama kali di adakan Program Ziarah dan Marbahan Pendidikan Khas, mereka (murid) sangat teruja. Mana tidaknya, mereka keluar berjalan ke rumah rakan-rakan sekelas. Setiap rumah yang kami kunjungi bukan sedikit juadaha disediakan, pelbagai jenis makanan dihidangkan kepada kami. Walaupun ada dikalangan murid mempunayai latar keluarga yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap, mereka tetap menyediakan.

            Sedang saya sibuk mengagihkan juadah kepada murid-murid yang lain, ada seorang murid ini yang duduk berhadapan dengan saya (oleh kerana murid ini sangat aktif, maka dia diletakkan di bawah penjagaan saya) dia meminta sesuatu kepada saya.

            “Ek-U... Ite nak Jaws,” 
           
            Saya minta dia tunggu sebentar.

“ Ek.. UUU.. Ite nak Jawslah,”

           Ketika itu saya sedang menguruskan murid lain dahuluyang duduk  agak jauh dari saya. Oleh kerana dia tidak sabar dan sabar saya pula menipis, saya pun berkata.

“Kalau awak nak Jaws pergi laut sana, sini tak ada Jaws,”
Terkebil-kebil dia bila saya suruh dia ke laut. Lalu dia tunjukkan saya apa yang dia 
mahu, yang dia minta pula bukanlah jauh mana. Betul-betul depan mata dia. 

“Allah.. Awak ini, cakaplah nak cili sos,”

“Ite dah akap adi,”


Yang paling menguji kesabaran saya, Tuan rumah sudah sediakan sos yang dimasukkan ke dalam mangkuk kecil, mudah untuk murid-murid ambil sendiri. Dia boleh pula jerit-jerit depan sos tu. Aduh!! Anakku sayang..