Saya
mendapat surat bertukar ke tempat lain dan perlu melaporkan diri dalam tempoh
seminggu. Sugul menerima surat perpindahan dan bermacam perkara saya bayangkan.
Perkara pertama yang saya khuatirkan adalah penerimaan mereka dengan kehadiran
saya di sana nanti.
Mulalah bermacam perihal soalan yang
tidak berjawab, bagaimana pengurusannya? Bagaimana pula keadaan kelas? Murid?
Guru-guru dan sebagainya saya fikirkan. Saya akui saya bukanlah seorang yang
peramah dan mudah mesra. Adakalnya saya menjadi sangat pendiam apabila
bercampur dengan orang-orang baharu. Malahan saya tidak pandai memulakan
bicara. Kalau diam orang itu, diamlah saya.
Anehnya saya hanya mesra kepada
mereka yang kecindan. Rasa selamat dan seronok itu ada. Tidak perlu banyak
berbicara hanya gelak tawa sudah menjadikan kami mesra. Sebelum saya berpindah
ke tempat baharu, sudah saya maklumkan kepada mereka agar tidak membuat majlis
perpisahan kepada saya. Cukuplah sekadar memberikan saya sebuah buku.
Menjadi kenyataan apabila saya
menerima hadiah sebuah buku daripada seorang sahabat. Asalnya saya berniat
untuk berpindah tanpa diadakan sebarang majlis dan tidak mahu menyusahkan
mana-mana pihak waima rakan sekelas saya sendiri, dalam erti kata lain, saya
mahu mengelak dari memberi ucapan dihadapan khalayak ramai. Gugup, kacau,
haru-biru dan minda saya menjadi beku dan kosong.
Cukuplah sekadar memberi sebuah
buku, itu sudah memadai bagi saya untuk dijadikan sebagai kenangan. Walaupun
bagaimanapun, keinginan untuk mengelak dari mengadakan majlis tidak kesampaian,
majlis perpisahan tetap dijalankan, bertukus lumus rakan sekelas menyediakan
pelbagai rancangan untuk menjayakannya. Lebih sayu, mereka menjemput ibu bapa
bekas anak-anak murid saya dan pelajar sekolah menengah yang pernah menjadi
anak murid saya dahulu.
Kononnya saya mahu menahan air mata,
buat seperti tidak ada apa-apa, mahu semuanya kelihatan baik. Mana mungkin saya
mampu menolak untuk menahan kesedihan. Sepanjang perjalanan pulang dari sekolah
saya menangis.
Betapa tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat pertama saya diarahkan untuk bertugas. Ketika saya menulis tentang kisah ini, buku ini masih belum sempat saya membacanya.
Cantik kawan saya lukis |
No comments:
Post a Comment