Semasa saya kecil, kami
menetap di kem polis Batalion 6 (Sekarang kawasan tersebut dipanggil kem PGA
9). Ayah memiliki sebuah motor skuter yang punggungnya lebar dan berwarna hijau
muda.
Sewaktu dahulu, jalan masuk ke kampung sangat kecil dan
laluannya tidak bertar, lebar jalan sebesar sebuah kereta sahaja. Selepas hujan
turun , jalan menjadi merah dan berlumpur, berlopak-lopak pula. Kiri dan kanan
jalan, lalang tumbuh tinggi memanjang dan pokok getah.
Ayah dan emak kadang-kadang membawa kami adik-beradik
(ketika itu kami hanya 3 beradik sahaja), itu pun apabila ayah mendapat cuti
panjang. Ayah kerap juga pergi gerakan masuk ke dalam hutan, kadang-kadang
berbulan lamanya.
Kebiasaanya, saya dan adik yang kedua akan duduk di
bahagian hadapan manakala emak akan mengendong adik saya yang ketiga.
Gembiranya bukan kepalang apabila kami duduk dihadapan. Apabila ayah memandu
masuk ke kampung, kami akang mengambil kesempatan mendepangkan sebelah tangan
untuk menyentuh lalang-lalang yang meliar tumbuh di kiri kanan jalan. Malah
kami sempat menarik beberapa helai lalang untuk dibuat permainan.
Ada suatu ketika berlaku sedikit kemalangan semasa pulang
ke kampung, waktu itu musim hujan. Emak mahu menziarahi atuk setelah agak lama
tidak bertemu kerana ayah pergi gerakan berbulan lamanya. Biasanya kami tidak
tidur dirumah atuk, hanya singgah dan pulang pada hari yang sama kerana
kekangan tugas ayah. Oleh kerana ayah pulang kekampung pada waktu malam, ayah
merancang untuk bermalam.
Lampu jalan tiada, hanya didorong oleh samar-samar lampu
motor ayah. Muatan kami agak penuh kerana beg baju yang kami bawa. Ayah tidak
sengaja terlanggar lopak yang agak dalam dan gagal mengawal motor lalu kami
berlima jatuh ke tepi jalan. Adik yang kecil mula menangis dan saya menjadi
sangat takut. Ayah dan emak saya menarik saya dan adik saya ke tengah jalan
kemudian ayah menghidupkan motor, tetapi gagal. Berkali juga ayah mencuba,
mungkin enjin motor ayah dimasuki air.
Lama juga kami menunggu ayah menghidupkan motor.
Setibanya kami di rumah atuk, nenek menyambut kami, terkejut nenek melihat kami
sekeluarga dipalit lumpur merah. Cepat-cepat nenek bawa kami adik beradik ke
bilik air, membersikan dan memakaikan kami dengan pakaian yang lain.
Cekal diingatan saya, cara nenek menyiapkan kami pada
malam itu. Malam itu, kami tidur dengan nenek dan menceritakan kembali
bagaimana kami boleh terjatuh.
No comments:
Post a Comment