Showing posts with label Kenangan Lalu. Show all posts
Showing posts with label Kenangan Lalu. Show all posts

Saturday, June 3, 2017

Saya gayat rupanya.

          Waktu dahulu, paling gembira musim buah tiba. JIka musim buah rambutan, maka merimbun buah rambutan bergantungan di pokok, malah ada yang mencecah sehingga ke tanah. Bermacam-macam juga jenisnya. Rambutan gading, rambutan merah dan rambutan sekolah.

            Dahulu saya pelik, kenapa rambutan dipanggil rambutan sekolah? Adakah benihnya di ambil dari sekolah? Rupa-rupanya ia sekadar gelaran. Buah rambutan sekolah lebih manis isinya dan apabila makan buahnya, kulit pada biji rambutan tidak terikut sekali. Paling seronok, ayah dan emak akan mengupas isi rambutan dan dijadikan ais krim.

            Sebelum banjir besar berlaku dihadapan rumah kami, ayah tanam pelbagai jenis buah-buahan seperti rambutan, cempedak siam, nangka, durian dan manggis. Tetapi semuanya mati akibat banjir lama (hampir sebulan tidak surut) sekitar tahun 2011. Tanah menjadi masam dan tidak mendapat cahaya matahari, kesemuanya telah mati.
***
Zaman sekolah.
            Saya dan rakan-rakan berjanji untuk berkumpul di rumah Hairunadlina. Katanya buah manggis sangat lebat. Kalau mahu ambil, kena ambil sendiri sebab pokoknya tinggi. Kalau jatuh, isi buah manggis menjadi lembik dan tidak sedap.

            Kami berkumpul selepas habis ‘study group’. Paling teruja untuk panjat pokok manggis sudah tentu Siti Khadijah. Dia memang berani dan cekal orangnya. Setelah kami tiba dirumah Hairunadlina, memang banyak buahnya, pokok manggis yang mahu ditakluk boleh tahan juga tingginya.

            Tangga sudah disediakan Cuma tidak cukup tinggi, tidak sampai separuh daripada ketinggian pokok. Okey.. Siti Khadijah kata dia mahu naik dahulu, orang bawah akan sambut menggunakan tuala (dua orang memegang penjuru tuala).

            Kemudian saya pula naik. Oh!! Siti Khadijah memang laju naik ke atas. Saya pemanjat kedua, berhati-hati memilih dahan. Takut terpijak dahan yang sudah rapuh. Siti Khadijah sudah mula mengambil buah dan menjatuhkan kepada dua orang rakan yang menunggu di bawah. Saya masih terkial-kial.

            Sedang berseronok, datang pula seorang rakan lelaki sekampung dengan saya dan Hairunadlina. Dia menegur. Kami yang berada di atas pokok sangat terkejut. Siti Khadijah terus bergegas mahu turun. Saya pula kaku. Dahan pokok yang saya titipkan langkah untuk naik sudah tiada. Hilang.

“Aku tak boleh turun,” kata saya.

“Turunlah cepat,” gesa Siti Khadijah.

Budak lelaki itu, boleh pula dia kata mahu panggil rakan-rakan dia yang lain, Suruh tengok ‘monyet’ panjat pokok manggis tidak boleh turun. Sabar sahajalah.



Akhirnya berjaya juga turun. Sumpah!! Lepas dari kejadian tersebut, saya tidak pernah panjat pokok buah sehingga kini. Jika berada di tingkat 3 dan ke atas. Saya jarang sekali pandang ke bawah dari tepi koridor.

Geng Basikal

         Semasa berada di zaman sekolah menengah, saya ada dua kumpulan geng basikal. Salah satunya geng basikal yang menjelajah satu pekan, aktiviti kami biasanya pada sebelah petang atau selepas waktu sekolah. Kami terdiri daripada 5 orang. Saya, Siti Khadijah, Hairunadlina, Hazleen, Siti Rodziah. Kami bersahabat baik. Terlalu banyak kenangan di antara kami. Sudah pasti ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk di lupakan.

            Pernah suatu ketika itu, hujan turun sangat lebat. Kami tidak boleh pulang ke rumah. Kami singgah di sebuah warung menjual pisang goreng. Hujan dan lapar tidak dapat dipisahkan. Kami berkongsi duit untuk membeli sepinggan pisang goreng dan makan bersama-sama. Pisang yang terakhir kami bahagikan supaya adil.

            Kadangkala kami singgah di perpustakkan, membaca dan meminjam buku. Oleh kerana kami kerap ke sana, pustakawan itu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kami untuk masuk walaupun bukan pada hari perpustakaan itu dibuka.

            Adakalanya pula kami masuk ke ‘nusery’ untuk melihat ikan besar, ular sawa dan burung merak. Kami pernah masuk ke dalam estet dan lalu jalan yang kecil untuk lihat  ke mana laluan kami akan keluar nanti. Ketika itu, keadaan semuanya selamat. Tidak ada apa yang kami takutkan.

            Walaupun kami berbasikal, sembahyang tidak kami lupakan. Pasti ada dikalangan kami yang akan mengingatkan kami tentang perkara wajib yang perlu didahulukan.

            Insiden tayar bocor, rantai basikal longgar, brek tidak melekat itu sebahagian ujian pemilik basikal. Adakalanya kami memandai-mandai membaiki sendiri rantai basikal yang longgar, tetapi semakin teruk pula jadinya.

            Berlaku satu kejadian di mana, saya hadir ke sekolah dengan memakai baju terkoyak, guru kemahiran hidup menegur baju dibahagian belakang terkoyak. Saya menjelaskan, ia gara-gara anjing yang mengejar kami semasa perjalan ke sekolah. Rantai basikal saya terlucut dari radarnya, lalu saya tertinggal kebelakang. Rakan-rakan yang lain sudah laju ke hadapan. Kononnya mahu terjun dan lari, rupa-rupanya saya tersekat kerana baju tersangkut pada nat tempat duduk.

            Pesan guru, jika ternampak anjing jangan lari atau di baling batu. Mengadap anjing itu, nanti anjing tidak akan kejar atau gigit. Itulah perkara yang kami tidak akan amalkan. Nampak sahaja anjing, darah terasa hilang terus dari badan. Perkara pertama yang bermain dikepala hanyalah kayuh basikal laju-laju.


            Rindu zaman berbasikal.

Aku dan layang-layang

            Mereka yang membesar sezaman dengan saya iaitu sekitar 80an-90an mempunyai kreativiti di dalam mencipta permainan. Pelbagai permainan menjadikan kami tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi walaupun baru bertemu kali pertama. Bahkan kami akan mengkagumi rakan baru yang kreativitinya lebih menonjol dari kalangan kami sendiri.

            Ketika itu, tiada rujukan melalui internet seperti google dan Youtube untuk membuat permainan, apatahlagi gajet-gajet moden, semua permainan  hanya menggunakan kreativiti dari ‘ilham’ sendiri. Zaman tanpa gajet, jika musim permainan gasing, semua akan bermain gasing, bila timbul musim bermain guli, guli sebesar batu sungai pun boleh muncul. Begitulah perihalnya musim  layang-layang. Habis lidi penyapu emak dibuat rangka layang-layang, suratkhabar ayah (entah sempat membaca atau tidak) menjadi bahan wajib membuat sebuah layang-layang dan pasti semua akan mula mencipta dan berlumba-lumba untuk menerbangkan layang-layang ciptaan masing-masing.

Jika layang-layang berpusing-pusing apabila diterbangkan, makanya ia memerlukan beberapa lagi pengubahsuaian.

            Saya dan Lina (adik nombor dua) juga tidak ketinggalan membuat layang-layang. Jika tidak menjadi, kami akan buat lagi sampai layang-layang kami boleh terbang. Waktu itu juga menjadi musim emak  berleter kerana sampah layang-layang bersepah-sepah serata rumah. Hahaha...

            Untuk mengelakkan emak lebih marah. Layang-layang yang kami buat, akan kami sorokkan. Konon tidak mahu  emak jumpa, kalau tidak, memang sudah tahu ke mana tempat khusus layang-layang itu emak letak. Tetapi tempat persembunyian layang-layang kami diketahui emak juga, adik kami yang masih kecil mengadu. Emak marah. Kata emak, lidi merbahaya jika adik bermain dengan layang-layang, lebih baik dibuang dari disimpan. Takut terkena mata.

            Oleh kerana gagal menerbangkan layang-layang yang kami cipta, kami mencari alternatif lain iaitu membeli sahaja layang-layang yang dijual dikedai . Lagi mudah dan layang-layang tidak berpusing-pusing apabila diterbangkan. Beli, pasang benang dan terbangkan. Mudah. Sebenarnya bukan sekali kami membeli layang-layang, jika koyak atau patah, kami akan beli semula. 

 Waktu itu, layang-layang harga sebuah layang-layang  hanya sekitar RM0.30 hingga RM0.60 seunit. Bermacam-macam bentuk gambar pada layang-layang. Spiderman, Batman, Thundercat, Power Renjer, Ultraman iaitu kartun-kartun siri yang popular pada zaman kecil saya. 

Seperti biasa, cuti hujung minggu persekolahan. Kalau tidak pagi, tengaharilah kami keluar, jika tidak tengahari, petang selepas Asar kami akan keluar. Asalkan kami tahu jalan pulang ke rumah. Untuk mengetahui bila waktu yang paling sesuai untuk keluar bermain, saya akan turun  sekejap dan lihat siapa yang sudah berada dipadang kem. Mula-mula seorang-dua, bila sudah ramai rakyat jelata yang seangkatan, barulah saya dan adik keluar untuk turut sama. 

Selain dari penyapu lidi dan suratkhabar, benang emak juga menjadi mangsa. Bukan sedikit benang kami ambil. Segulung. Kalau dapat yang baharu lagi, yang itu jugalah kami ambil. Biasanya saya menjadi peneraju menaikkan layang-layang dan adik saya sebagai pemegang layang-layang. Kecuali kalau saya sudah penat menaikkan layang-layang yang kononnya mengikut angin, adik saya pula menjadi penerajunya.


Hari itu, sangat menyeronokkan bermain layang-layang. Mula-mula rendah, lama kelamaan dia naik tinggi ke atas. Kami bersorak gembira. Tanpa kami sedar, waktu Maghrib hampir tiba. Bak kata orang, kalau suka biarlah berpada-pada.  Rupa-rupanya ayah sudah tunggu kami di lorong jalan ke rumah kami. Seperti orang hilang darah, kelam kabut. Sudahlah hari itu layang-layang kami memang naik tinggi. Kami pantas menggulung benang layang-layang. Jenuh juga. Sambil menggulung, sambil-sambil kami mengerling ke arah ayah. Ayah sudah cekak pinggang. Terasa lama sangat kami mahu menggulung, putuskan benang adalah cara paling selamat.

            Maka melayang-layanglah layang-layang kami tanpa arah. Kami pulang ikut lorong lain, sebab ayah masih setia menunggu di situ. 


Monday, May 29, 2017

Kenangan Balik Ke Kampung

            Semasa saya kecil, kami menetap di kem polis Batalion 6 (Sekarang kawasan tersebut dipanggil kem PGA 9). Ayah memiliki sebuah motor skuter yang punggungnya lebar dan berwarna hijau muda.

            Sewaktu dahulu, jalan masuk ke kampung sangat kecil dan laluannya tidak bertar, lebar jalan sebesar sebuah kereta sahaja. Selepas hujan turun , jalan menjadi merah dan berlumpur, berlopak-lopak pula. Kiri dan kanan jalan, lalang tumbuh tinggi memanjang dan pokok getah.

            Ayah dan emak kadang-kadang membawa kami adik-beradik (ketika itu kami hanya 3 beradik sahaja), itu pun apabila ayah mendapat cuti panjang. Ayah kerap juga pergi gerakan masuk ke dalam hutan, kadang-kadang berbulan lamanya.

            Kebiasaanya, saya dan adik yang kedua akan duduk di bahagian hadapan manakala emak akan mengendong adik saya yang ketiga. Gembiranya bukan kepalang apabila kami duduk dihadapan. Apabila ayah memandu masuk ke kampung, kami akang mengambil kesempatan mendepangkan sebelah tangan untuk menyentuh lalang-lalang yang meliar tumbuh di kiri kanan jalan. Malah kami sempat menarik beberapa helai lalang untuk dibuat permainan.

            Ada suatu ketika berlaku sedikit kemalangan semasa pulang ke kampung, waktu itu musim hujan. Emak mahu menziarahi atuk setelah agak lama tidak bertemu kerana ayah pergi gerakan berbulan lamanya. Biasanya kami tidak tidur dirumah atuk, hanya singgah dan pulang pada hari yang sama kerana kekangan tugas ayah. Oleh kerana ayah pulang kekampung pada waktu malam, ayah merancang untuk bermalam.

            Lampu jalan tiada, hanya didorong oleh samar-samar lampu motor ayah. Muatan kami agak penuh kerana beg baju yang kami bawa. Ayah tidak sengaja terlanggar lopak yang agak dalam dan gagal mengawal motor lalu kami berlima jatuh ke tepi jalan. Adik yang kecil mula menangis dan saya menjadi sangat takut. Ayah dan emak saya menarik saya dan adik saya ke tengah jalan kemudian ayah menghidupkan motor, tetapi gagal. Berkali juga ayah mencuba, mungkin enjin motor ayah dimasuki air.

            Lama juga kami menunggu ayah menghidupkan motor. Setibanya kami di rumah atuk, nenek menyambut kami, terkejut nenek melihat kami sekeluarga dipalit lumpur merah. Cepat-cepat nenek bawa kami adik beradik ke bilik air, membersikan dan memakaikan kami dengan pakaian yang lain.

            Cekal diingatan saya, cara nenek menyiapkan kami pada malam itu. Malam itu, kami tidur dengan nenek dan menceritakan kembali bagaimana kami boleh terjatuh.

          *Nenek dan atuk (sebelah emak) sudah tiada, kiriman Al-Fatihah sentiasa ada untuk mereka berdua. Maafkan saya nenek, saya tidak sempat menjaga nenek dengan baik ketika nenek sakit. Sewaktu itu, saya masih mentah untuk merasai penderitaan nenek. Saya sering merasa marah kerana bau ubat nenek sangat kuat dan tidak enak. Duduk di sebelah nenek juga saya tidak berasa selesa. Semoga kesalahan saya mendapat keampunan dari nenek. Semoga Allah menempatkan nenek dan atuk bersama-sama dengan kekasih Allah. Al-Fatihah.


Kelantan 2015

           Pada tahun Januari 2015, saya mengambil cuti selama 5 hari, kerana mahu mengikuti program bersama IKRAM Muar untuk menjadi sukarelawan dalam membantu mangsa banjir di Kelantan. Saya dan beberapa anggota banyak membuat persediaan untuk di salurkan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.

            Perjalanan kami mengambil tempoh agak lama, terpaksa berpatah balik kerana terlalu banyak jalan yang telah di tutup. Saya tertidur beberapa kali dan tersedar  dan tidak tidur lansung ketika bas terhentak kuat di Lebuh Raya Pantai Timur akibat daripada laluan jalan raya tidak sekata. Kasihan kepada pemandu bas kami, bukan kerana insiden itu sahaja, beliau terpaksa menggunakan pengamatan dan fokus lebih 100% kerana keadaan jalan dan mengelakkan dari berlanggar dengan binatang ternakan seperti lembu dan kambing berkeliaran di jalan raya biasa.

            Kami tiba di pusat IKRAM Kelantan sekitar jam 7.00 pagi. Terus sahaja dari bas, kami di sambut oleh sukarelawan dari beberapa negeri yang sudah tiba awal dari kami. Kami dipecahkan kepada beberapa bahagia. Tugas pertama kumpulan saya ialah mengasingkan pakaian yang telah didermakan oleh rakyat tempatan kepada beberapa kategori, baju t-shirt lelaki dewasa, kanak-kanak, wanita serta baju kurung saiz dari  kecil hingga paling besar dan tudung.

            Terlalu banyak lambakan baju yang, ada yang sudah disusun sendiri oleh penderma, ada juga yang bercampur aduk dan ada juga pakaian yang memang sudah tidak boleh digunakan kami terima. Hanya dengan melihat keadaan begitu, hati saya sudah menjadi sayu.

            Keesokkan harinya saya dan kumpulan saya dihantar ke satu daerah. Turun sahaja dari bas, menusuk kehidung bau yang tidak menyenangkan. Allahurabbi... Terkejut saya melihat keadaan ketika itu. Kumpulan besar kami di asingkan mejadi kumpulan yang kecil dan setiap kami diberi beberapa barang keperluan, seperti air mineral, lampin pakai buang, makanan dan pakaian serta telekung untuk diedarkan kepada masyarakat di situ.

            Sayup hati kami melihat, apatah lagi mereka yang menghadapi sendiri bencana banjir. Habis lumpuh keseluruhannya. Harta benda semuanya musnah sekelip mata. Tanda air banjir juga masih utuh terpalit di dinding-dinding rumah. Apa yang mereka terima, itulah mereka guna dahulu. Tidak seorang pun dari mereka saya lihat merungut atau sedih jiwanya, masing-masing sibuk mengemas, mencuci dan mengurus sisa-sia yang ditinggalkan oleh banjir.


            Lebih sayu, saya melihat anak-anak kecil yang berpakaian baju dewasa malah ada yang tidak berbaju.  Kami di arahkan oleh ketua lawatan untuk membuat pengagihan dengan mengutamakan  keluarga diduduki oleh ramai ahli keluarga yang lain. 




Monday, March 27, 2017

Terima kasih Cikgu!

           Ketika belajar di sekolah menengah, saya mengambil aliran biasa. Walaupun minat kepada seni lukisan saya tidak mengambil subjek tersebut untuk senarai matapelajaran SPM. Minat saya lebih terarah kepada matapelajaran Ekonomi dan Geografi.     

           Pernah tertangkap kerana membantu dua orang rakan membuat logo dan salah satu daripada lukisan itu mendapat tempat kedua, saya di arahkan untuk berjumpa guru pendidikan seni. Memang hati penuh debar ibarat mahu berjumpa dengan guru displin. Saya pasti kesalahan saya adalah sangat besar. Masuk sahaja ke bilik seni, dua lukisan sudah berada di meja guru.

            “Awakkah yang melukis kedua-dua logo ni?” tanya guru seni saya.

            “ Saya. Cikgu,” jawab saya 

            “ Saya tahu lukisan ini dilukis oleh orang yang sama kerana teknik lukisan hampir
               sama. Saya tidak marah awak, saya marah kedua-dua rakan awak kerana menipu
               dalam pertandingan,”

            Lega rasa. Kemudian cikgu  pendidikan seni mengeluarkan sebuah buku seni untuk saya baca dirumah dan dia minta saya untuk kembali semula bertemunya pada esok hari. Esoknya saya bertemu cikgu seni untuk memulangkan buku. Saya tidak membaca sebenarnya, tetapi saya membelek setiap lukisan di dalam buku tersebut. Ia sangat mengasyikkan. Baru saya tahu lukisan bukan sekadar coretan atau loretan di atas kertas, tetapi ilmu seni ini sangat luas dan banyak cabnagannya.

            Cikgu seni saya adalah orang pertama yang mengesan bakat saya untuk diketengahkan. Sudah namanya pun cikgu seni yang mengajar pendidikan seni, memanglah dia orang pertama yang mampu mengesan bakat melukis saya. (Ketawa sambil menutup mulut). Dia syorkan saya untuk mendaftar kelas pendidikan seni dan mengambil subjek lukisan untuk SPM, dan ini bermaksud ayah terpaksa menambah bayaran untuk kertas peperiksaan saya.

            Masih saya ingat lagi, saya bersama seorang rakan (terlupa pula siapa) datang ke bilik guru untuk bertemu guru kelas. Masihkuat ingatan yang saya meminta kepada guru kelas untuk dibenarkan membayar yuran secara perperingkat kerana ketika itu, 4 orang adik beradik saya sedang belajar, adik yang kedua bakal mengambil PMR. Manakala yang ketiga di darjah 6.
         
           Adik saya yang menduduki peperiksaan PMR pada tahun yang sama saya menggambil SPM sedang belajar di asrama. Kasihan saya kepada ayah, kerana kewangan kami agak terhad ketika itu, walaupun ayah bekerja di sektor kerajaan tetapi ayah menampung perbelanjaan kami semua dan emak saya seorang surirumah sepenuh masa.

            Berbalik kepada cerita kelas pendidikan seni, akhirnya saya mendaftar dan menambah matapelajaran pendidikan seni untuk peperiksaan SPM setelah diberi motivasi dan kata-kata semangat yang tinggi. Hasil ke kelas pendidikan seni, lukisan saya sentiasa berada di papan kenyataan bilik seni, dan paling hebat bagi saya, apabila lukisan batik kumpulan saya di pamerkan di ruang kantin sekolah.


            Saya ingatkan berada di kelas pendidikan seni hanya melukis dan membuat kraftangan. Tetapi tidak semudah itu, saya terpaksa juga membaca dan menghafal seperti matapelajaran yang lain. Perlu hafal jenis-jenis warna (asas, sekunder dan tertier), jenis-jenis garisan dan lain-lain lagi (pengunaan perkataan lain-lain lagi ini sebab saya terlupa lansung apa lagi yang saya belajar Haha...) 

Terima kasih cikgu Lina, kerana memilih saya berada di dalam kelas cikgu ketika itu.