Saturday, June 3, 2017

Aku dan layang-layang

            Mereka yang membesar sezaman dengan saya iaitu sekitar 80an-90an mempunyai kreativiti di dalam mencipta permainan. Pelbagai permainan menjadikan kami tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi walaupun baru bertemu kali pertama. Bahkan kami akan mengkagumi rakan baru yang kreativitinya lebih menonjol dari kalangan kami sendiri.

            Ketika itu, tiada rujukan melalui internet seperti google dan Youtube untuk membuat permainan, apatahlagi gajet-gajet moden, semua permainan  hanya menggunakan kreativiti dari ‘ilham’ sendiri. Zaman tanpa gajet, jika musim permainan gasing, semua akan bermain gasing, bila timbul musim bermain guli, guli sebesar batu sungai pun boleh muncul. Begitulah perihalnya musim  layang-layang. Habis lidi penyapu emak dibuat rangka layang-layang, suratkhabar ayah (entah sempat membaca atau tidak) menjadi bahan wajib membuat sebuah layang-layang dan pasti semua akan mula mencipta dan berlumba-lumba untuk menerbangkan layang-layang ciptaan masing-masing.

Jika layang-layang berpusing-pusing apabila diterbangkan, makanya ia memerlukan beberapa lagi pengubahsuaian.

            Saya dan Lina (adik nombor dua) juga tidak ketinggalan membuat layang-layang. Jika tidak menjadi, kami akan buat lagi sampai layang-layang kami boleh terbang. Waktu itu juga menjadi musim emak  berleter kerana sampah layang-layang bersepah-sepah serata rumah. Hahaha...

            Untuk mengelakkan emak lebih marah. Layang-layang yang kami buat, akan kami sorokkan. Konon tidak mahu  emak jumpa, kalau tidak, memang sudah tahu ke mana tempat khusus layang-layang itu emak letak. Tetapi tempat persembunyian layang-layang kami diketahui emak juga, adik kami yang masih kecil mengadu. Emak marah. Kata emak, lidi merbahaya jika adik bermain dengan layang-layang, lebih baik dibuang dari disimpan. Takut terkena mata.

            Oleh kerana gagal menerbangkan layang-layang yang kami cipta, kami mencari alternatif lain iaitu membeli sahaja layang-layang yang dijual dikedai . Lagi mudah dan layang-layang tidak berpusing-pusing apabila diterbangkan. Beli, pasang benang dan terbangkan. Mudah. Sebenarnya bukan sekali kami membeli layang-layang, jika koyak atau patah, kami akan beli semula. 

 Waktu itu, layang-layang harga sebuah layang-layang  hanya sekitar RM0.30 hingga RM0.60 seunit. Bermacam-macam bentuk gambar pada layang-layang. Spiderman, Batman, Thundercat, Power Renjer, Ultraman iaitu kartun-kartun siri yang popular pada zaman kecil saya. 

Seperti biasa, cuti hujung minggu persekolahan. Kalau tidak pagi, tengaharilah kami keluar, jika tidak tengahari, petang selepas Asar kami akan keluar. Asalkan kami tahu jalan pulang ke rumah. Untuk mengetahui bila waktu yang paling sesuai untuk keluar bermain, saya akan turun  sekejap dan lihat siapa yang sudah berada dipadang kem. Mula-mula seorang-dua, bila sudah ramai rakyat jelata yang seangkatan, barulah saya dan adik keluar untuk turut sama. 

Selain dari penyapu lidi dan suratkhabar, benang emak juga menjadi mangsa. Bukan sedikit benang kami ambil. Segulung. Kalau dapat yang baharu lagi, yang itu jugalah kami ambil. Biasanya saya menjadi peneraju menaikkan layang-layang dan adik saya sebagai pemegang layang-layang. Kecuali kalau saya sudah penat menaikkan layang-layang yang kononnya mengikut angin, adik saya pula menjadi penerajunya.


Hari itu, sangat menyeronokkan bermain layang-layang. Mula-mula rendah, lama kelamaan dia naik tinggi ke atas. Kami bersorak gembira. Tanpa kami sedar, waktu Maghrib hampir tiba. Bak kata orang, kalau suka biarlah berpada-pada.  Rupa-rupanya ayah sudah tunggu kami di lorong jalan ke rumah kami. Seperti orang hilang darah, kelam kabut. Sudahlah hari itu layang-layang kami memang naik tinggi. Kami pantas menggulung benang layang-layang. Jenuh juga. Sambil menggulung, sambil-sambil kami mengerling ke arah ayah. Ayah sudah cekak pinggang. Terasa lama sangat kami mahu menggulung, putuskan benang adalah cara paling selamat.

            Maka melayang-layanglah layang-layang kami tanpa arah. Kami pulang ikut lorong lain, sebab ayah masih setia menunggu di situ. 


No comments:

Post a Comment