Waktu dahulu, paling gembira
musim buah tiba. JIka musim buah rambutan, maka merimbun buah rambutan
bergantungan di pokok, malah ada yang mencecah sehingga ke tanah.
Bermacam-macam juga jenisnya. Rambutan gading, rambutan merah dan rambutan
sekolah.
Dahulu saya pelik, kenapa rambutan dipanggil rambutan
sekolah? Adakah benihnya di ambil dari sekolah? Rupa-rupanya ia sekadar
gelaran. Buah rambutan sekolah lebih manis isinya dan apabila makan buahnya,
kulit pada biji rambutan tidak terikut sekali. Paling seronok, ayah dan emak
akan mengupas isi rambutan dan dijadikan ais krim.
Sebelum banjir besar berlaku dihadapan rumah kami, ayah
tanam pelbagai jenis buah-buahan seperti rambutan, cempedak siam, nangka,
durian dan manggis. Tetapi semuanya mati akibat banjir lama (hampir sebulan
tidak surut) sekitar tahun 2011. Tanah menjadi masam dan tidak mendapat cahaya
matahari, kesemuanya telah mati.
***
Zaman sekolah.
Zaman sekolah.
Saya dan rakan-rakan berjanji untuk berkumpul di rumah
Hairunadlina. Katanya buah manggis sangat lebat. Kalau mahu ambil, kena ambil
sendiri sebab pokoknya tinggi. Kalau jatuh, isi buah manggis menjadi lembik dan
tidak sedap.
Kami berkumpul selepas habis ‘study group’. Paling teruja
untuk panjat pokok manggis sudah tentu Siti Khadijah. Dia memang berani dan
cekal orangnya. Setelah kami tiba dirumah Hairunadlina, memang banyak buahnya, pokok manggis yang mahu ditakluk boleh tahan juga tingginya.
Tangga sudah disediakan Cuma tidak cukup tinggi, tidak
sampai separuh daripada ketinggian pokok. Okey.. Siti Khadijah kata dia mahu
naik dahulu, orang bawah akan sambut menggunakan tuala (dua orang memegang
penjuru tuala).
Kemudian saya pula naik. Oh!! Siti Khadijah memang laju
naik ke atas. Saya pemanjat kedua, berhati-hati memilih dahan. Takut terpijak
dahan yang sudah rapuh. Siti Khadijah sudah mula mengambil buah dan menjatuhkan
kepada dua orang rakan yang menunggu di bawah. Saya masih terkial-kial.
Sedang berseronok, datang pula seorang rakan lelaki sekampung dengan saya dan Hairunadlina. Dia menegur. Kami yang berada di atas pokok sangat terkejut. Siti
Khadijah terus bergegas mahu turun. Saya pula kaku. Dahan pokok yang saya
titipkan langkah untuk naik sudah tiada. Hilang.
“Aku
tak boleh turun,” kata saya.
“Turunlah
cepat,” gesa Siti Khadijah.
Budak
lelaki itu, boleh pula dia kata mahu panggil rakan-rakan dia yang lain, Suruh
tengok ‘monyet’ panjat pokok manggis tidak boleh turun. Sabar sahajalah.
No comments:
Post a Comment