Semasa berada di zaman
sekolah menengah, saya ada dua kumpulan geng basikal. Salah satunya geng
basikal yang menjelajah satu pekan, aktiviti kami biasanya pada sebelah petang
atau selepas waktu sekolah. Kami terdiri daripada 5 orang. Saya, Siti Khadijah,
Hairunadlina, Hazleen, Siti Rodziah. Kami bersahabat baik. Terlalu banyak
kenangan di antara kami. Sudah pasti ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk
di lupakan.
Pernah suatu ketika itu, hujan turun sangat lebat. Kami
tidak boleh pulang ke rumah. Kami singgah di sebuah warung menjual pisang goreng.
Hujan dan lapar tidak dapat dipisahkan. Kami berkongsi duit untuk membeli
sepinggan pisang goreng dan makan bersama-sama. Pisang yang terakhir kami
bahagikan supaya adil.
Kadangkala kami singgah di perpustakkan, membaca dan
meminjam buku. Oleh kerana kami kerap ke sana, pustakawan itu memberi kepercayaan
sepenuhnya kepada kami untuk masuk walaupun bukan pada hari perpustakaan itu
dibuka.
Adakalanya pula kami masuk ke ‘nusery’ untuk melihat ikan
besar, ular sawa dan burung merak. Kami pernah masuk ke dalam estet dan lalu
jalan yang kecil untuk lihat ke mana
laluan kami akan keluar nanti. Ketika itu, keadaan semuanya selamat. Tidak ada
apa yang kami takutkan.
Walaupun kami berbasikal, sembahyang tidak kami lupakan.
Pasti ada dikalangan kami yang akan mengingatkan kami tentang perkara wajib
yang perlu didahulukan.
Insiden tayar bocor, rantai basikal longgar, brek tidak
melekat itu sebahagian ujian pemilik basikal. Adakalanya kami memandai-mandai
membaiki sendiri rantai basikal yang longgar, tetapi semakin teruk pula
jadinya.
Berlaku satu kejadian di mana, saya hadir ke sekolah
dengan memakai baju terkoyak, guru kemahiran hidup menegur baju dibahagian
belakang terkoyak. Saya menjelaskan, ia gara-gara anjing yang mengejar kami semasa
perjalan ke sekolah. Rantai basikal saya terlucut dari radarnya, lalu saya
tertinggal kebelakang. Rakan-rakan yang lain sudah laju ke hadapan. Kononnya
mahu terjun dan lari, rupa-rupanya saya tersekat kerana baju tersangkut pada
nat tempat duduk.
Pesan guru, jika ternampak anjing jangan lari atau di
baling batu. Mengadap anjing itu, nanti anjing tidak akan kejar atau gigit.
Itulah perkara yang kami tidak akan amalkan. Nampak sahaja anjing, darah terasa
hilang terus dari badan. Perkara pertama yang bermain dikepala hanyalah kayuh
basikal laju-laju.
Rindu zaman berbasikal.
No comments:
Post a Comment