Monday, June 5, 2017

Latihan Tubi 44 Entri


          Ia menjadi satu peluang yang bertuah bagi saya apabila diberi peluang oleh Puan Masayu Ahmad selaku mentor dan pengasas  Tutorial Asas Blog dan Penulisan ( TABDP ) untuk menulis dan duduk bersama-sama penulis-penulis blog yang lain. Akhirnya saya lengkap membuat latihan tubi 44 entri. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah. Terima kasih sifu.

            Pada awalnya saya memang berasa kecewa apabila tidak pandai membuat blog dengan baik. Banyak sebenarnya yang perlu saya teroka dan akhirnya memilih untuk berputus asa malah tidak melakukan sebarang  latihan seperti yang dikehendaki. Sebuah buku catatan  saya catat setiap info dari grup TABDP  sebagai ulangkaji dan sebuah lagi buku nota untuk catatan harian. Adakalanya catatan harian saya tidak konsisten menulis kerana kekurangan idea.  Agak lama saya tinggalkan blog ini.

            Entah bagaimana ketika mencari ‘dokumen’ di dalam laptop, sambil mengemaskini fail-fail, saya terjumpa satu fail di atas nama ‘My Blog Nizarinaabubakar@gmail.com’ . Kemudian buka dan baca apa yang telah ditulis, lebih kurang 5 entri telah dicatatkan. Diri sendiri juga terlupa yang telah menulis entri sebanyak itu.

            Orang yang membantu saya membuat blog adalah rakan sekerja saya. Seorang guru yang baru berpindah masuk, seorang yang  mempunyai daya pemikiran yang lebih dewasa jika mahu dibandingkan dengan umurnya yang masih muda.  ‘Post’ pertama di dalam  blog saya adalah tulisan daripada beliau. Katanya sebagai pemangkin semangat  kepada saya yang perlu berusaha mencantikkan blog.
****
           Menulis bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi tulisan yang  dibaca oleh masyarakat umum. Apa yang kita tulis, kita perlu tanggung akibatnya. Menulis perkara yang baik maka perkara yang baik akan datang kepada kita. Jika menulis perkara yang tidak baik dan menyebabkan fitnah malah penulsan tidak baik itu menjadi ikutan atau kepercayaan ia adalah dosa yang perlu ditanggung oleh penulis bukan sahaja di dunia malah pada hayat yang akan datang.

            Tutorial Asas Blog dan Penulisan bukan sahaja hanya sekadar mencapai matlamat menulis sebanyak 44 entri, tetapi ia menzahirkan sesuatu untuk  saya kongsikan sebagai pembacaan dan kenangan.

            Semasa memulakan penulisan (saya menyambung penulisan yang lama) memang saya mengalami sedikit kesukaran. Saya mahu menulis sesuatu yang mudah difahami dan tidak jemu apabila dibaca serta bersama-sama berkongsi rasa apa yang  mahu disampaikan.  Selain itu, ia juga menjadi salah satu platform mempromosikan diri dengan percuma dan  salah satu cabangan mengembangkan bakat atau perniagaan yang kita usahakan.

            Memulakan menulis secara konsisten pada awalnya memang agak susah, idea menulis juga terbatas, ini adalah kerana ia bukanlah satu rutin yang selalu kita lakukan. Menulis secara fokus dan konsisten memerlukan displin yang tinggi. Lama-kelamaan ia menjadi satu perkara baharu yang kita sentiasa mahu buat, berpandukan menulis (tulisan tangan) catatan harian di dalam buku nota dan kemudiannya di pindahkan ke dalam blog, kita memperoleh rentak untuk menulis. Tinggalkan dahulu kesilapan dari segi tatabahasa dan penyusunan ayat,  semakin banyak yang kita menulis, semakin banyak yang akan kita belajar.

            Pepatah ada menyebut, latihan yang berulang akan menjadikan ia sempurna. Pada saya itu agak tidak relevan. Jika latihan yang berulang tanpa membetulkan apa yang salah, ia tidak akan menjadi sempurna. Ini yang saya belajar di dalam TABDP. Saya belajar sambil menulis. Jika di baca penulisan saya dari awal, memang terdapat banyak kesilapan dan saya masih tidak jemu untuk belajar.

           Banyakkan membaca buku ilmiah juga dapat membantu kita menulis dan membaca blog dari penulis yang lain juga dapat memberikan kita idea, apa yang mahu dan perlu kita tulis.

            Kini saya masih lagi menulis dengan konsisten di dalam buku catatan harian  dan ia menjadi satu keresahan apabila tidak menulis. Semoga saya terus istiqamah menulis perkara yang baik-baik selain mempromosi bakat kecil saya kepada umum. Matlamat saya ialah menulis untuk saham akhirat.

            Terima kasih sifu dan rakan-rakan yang bersama-sama memberikan sokongan sehingga wujudnya blog saya ini. Semoga Allah melimpahkan segala Rahmat-Nya dan Keredaan-Nya atas setiap apa yang kita tulis.

Ini buku catatan harian saya yang di bawa ke mana-mana sahaja.

Ini di antara isi kandungan di dalam buku catatan harian
               
Buku Nota dan Rujukan



Buku Nota dan rujukan

Saturday, June 3, 2017

HAMKA dan Ahmad Ammar

            Saya peminat penulisan HAMKA. Sebelum mengenali HAMKA, saya  hanya melihat nama ini di dalam ‘Facebook’ seorang rakan yang sentiasa memuat naik kata-kata motivasi dari beliau.

            Di situlah baharu saya ketahu, bahawa disebalik HAMKA ini pemilik yang bernama Haji Abdul Malik Bin Karim Amrullah (Lahir pada 17 Februari 1908 dan meninggal dunia pada 1981 ) adalah penulis dan ulama terkemuka di Indonesia.

            DI bawah Lindungan Ka’abah adalah buku pertama beliau yang saya miliki dan di antara petikan yang saya sangat sukai di dalam buku tersebut berbunyi begini,

“Allah menunjukkan kekuasaan-Nya. Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangiskan mesti ada pula. Kita mengukur perjalanan  alam dengan ukuran yang luas, bukanlah dengan nasib sendiri”

            Terlalu banyak bahasa tersirat yang digunakan. Kini saya memiliki hampir 6 buah buku penulisan beliau. Alhamdulillah.. Saya tidak pernah jemu membacanya.
***
            Kisah mengenai seorang pelajar Malaysia yang menjadi tular kerana kematian diratapi membuatkan saya betul-betul mahu mengetahui tentang beliau, Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam. Saya memilih  untuk membeli buku hasil garapan Pak Latif – Ahmad Ammar Pemuda Yang di Pesiapkan Untuk Ummah

            Di antara bahagian yang membuatkan saya betul-betul hiba di dalam karya beliau (Pak Latif) ini adalah di bab terkahir.

“Seorang guru yang mewakafkan keseluruhan dirinya untuk berdakwah di jalan Allah dan Rasul Nya, beliau jatuh sakit atas kehilangan Ahmad Ammar yang bukan sahaja di anggap sebagai pelajar, tetapi sebagai sahabat yang beliau kasihi.
****
Saya begitu cemburu. Cemburu yang menginsafkan.

-          Tulisan yang baik-baik membuatkan kita fikir sedalam-dalamnya apabila sudah tamat membaca.

Al-Fatihah buat Kalian, Sesungguhnya hak kamu telah nyata berada di sisi Allah.


Aku?

Bola Jaring dan Stamina

            Saya dipelawa untuk bermain bola jaring mewakili sekolah bagi perlawanan untuk hari guru. Mula-mula sedikit ragu, takut saya tidak mampu berlari pantas dan bermain dengan cekap di samping usia saya yang semakin meningkat dewasa.

            Dahulu semasa di sekolah menengah, saya memang tidak ada kemahiran dalam bermain bola jaring, hanya sekadar mencukupkan korum bermain bersama pasukan yang terpilih. Dapat pegang bola sekejap pun sudah cukup bagus. Maklumlah yang bermain dengan kita pun bukan calang-calang orangnya.

            Saya pula jarang bersenam, kalau berlari pun setakat 50meter itu pun sudah rasa penat. Lagilah jika berzumba. Memang terasa perit urat dan sendi.

            Akhirnya saya ambil keputusan untuk menjadi pemain. Biasanya orang yang tidak hebat bermain seperti saya lebih baik ambil kedudukan yang tidak banyak berlari, iaitu GK (Goal Keeper). Tugas Goal Keeper mengahalang daripada bola sampai kepada GA  ataupun GS dan juga menghalang bola daripada memasuki gawang lawan.

            Semasa hari kejadian, belum pun berlawan, saya sudah ke tandas. Gerun melihat pemain dari pihak lawan. Cergas dan tangkas, dibandingkan saya yang mempunyai susuk tubuh yang gempal.


            Mujur tempoh perlawanan 7-1-7 (Tujuh minit bermain, satu minit rehat, Tujuh minit lagi untuk pusingan kedua). Saya bermain sebagai GK dari awal perlawanan sehinggalah pasukan yang terkakhir. Kami menang hanya satu perlawanan dari 3 perlawanan. Alhamdulillah... 

Bunga - Warna Air Bahagian 2

           Saya masih lagi meneruskan latihan menggunakan warna air. Ini adalah minat kedua yang saya temui. Saya masih mengambil pendekatan melukis lukisan yang mudah. Melatih yang mudah dan membiasakan diri dengan bermain dengan warna.

            Melukis menggunakan teknik ini tidak memerlukan lakaran pensil. Terus sahaja dilukis pada kertas ataupun canvas. ( Di entri akan datang, saya akan memperkenalkan beberapa individu yang menjadi mentor tidak rasmi untuk belajar ).


            Saya menggunakan warna air dari ‘Pop Artz’ – ’12 Gouache Colours non-transparet water based colours’ berharga RM 15 seunit. Pada mulanya saya menggunakan warna poster- ‘BUNCHO’ tetapi tidak menjadi. Warna tidak mengembang dan apabila kering ia tidak kemas dan cantik. Bertompok-tompok.





Doodle - Hadiah Perkhawinan

           Doodle dan saya tidak dapat dipisahkan. Sebelum ini, apabila rakan terdekat saya mendidirkan rumah tangga, barangan menjadi hadiah sebagai wakil kepada diri. Kini, saya lebih selesa memberikan hadiah perkhawinan melalui lukisan doodle saya, selain sebagai ucapan tahniah ia juga memberi makna peribadi kepada saya. Melakar dengan baik-baik, melukis dengan tenang dan sebagai wakil kepada diri saya.

            Pada saya, ia lebih menarik dan mempunyai kelainan sedikit. Doodle sebagai hadiah perkhawinan pertama, saya lukiskan buat rakan sekerja saya. Ini juga adalah doodle pertama yang warnakan. 



Seterusnya, kekal memberikan hasil lukisan doodle saya sebagai hadiah perkhawinan. 





Saya gayat rupanya.

          Waktu dahulu, paling gembira musim buah tiba. JIka musim buah rambutan, maka merimbun buah rambutan bergantungan di pokok, malah ada yang mencecah sehingga ke tanah. Bermacam-macam juga jenisnya. Rambutan gading, rambutan merah dan rambutan sekolah.

            Dahulu saya pelik, kenapa rambutan dipanggil rambutan sekolah? Adakah benihnya di ambil dari sekolah? Rupa-rupanya ia sekadar gelaran. Buah rambutan sekolah lebih manis isinya dan apabila makan buahnya, kulit pada biji rambutan tidak terikut sekali. Paling seronok, ayah dan emak akan mengupas isi rambutan dan dijadikan ais krim.

            Sebelum banjir besar berlaku dihadapan rumah kami, ayah tanam pelbagai jenis buah-buahan seperti rambutan, cempedak siam, nangka, durian dan manggis. Tetapi semuanya mati akibat banjir lama (hampir sebulan tidak surut) sekitar tahun 2011. Tanah menjadi masam dan tidak mendapat cahaya matahari, kesemuanya telah mati.
***
Zaman sekolah.
            Saya dan rakan-rakan berjanji untuk berkumpul di rumah Hairunadlina. Katanya buah manggis sangat lebat. Kalau mahu ambil, kena ambil sendiri sebab pokoknya tinggi. Kalau jatuh, isi buah manggis menjadi lembik dan tidak sedap.

            Kami berkumpul selepas habis ‘study group’. Paling teruja untuk panjat pokok manggis sudah tentu Siti Khadijah. Dia memang berani dan cekal orangnya. Setelah kami tiba dirumah Hairunadlina, memang banyak buahnya, pokok manggis yang mahu ditakluk boleh tahan juga tingginya.

            Tangga sudah disediakan Cuma tidak cukup tinggi, tidak sampai separuh daripada ketinggian pokok. Okey.. Siti Khadijah kata dia mahu naik dahulu, orang bawah akan sambut menggunakan tuala (dua orang memegang penjuru tuala).

            Kemudian saya pula naik. Oh!! Siti Khadijah memang laju naik ke atas. Saya pemanjat kedua, berhati-hati memilih dahan. Takut terpijak dahan yang sudah rapuh. Siti Khadijah sudah mula mengambil buah dan menjatuhkan kepada dua orang rakan yang menunggu di bawah. Saya masih terkial-kial.

            Sedang berseronok, datang pula seorang rakan lelaki sekampung dengan saya dan Hairunadlina. Dia menegur. Kami yang berada di atas pokok sangat terkejut. Siti Khadijah terus bergegas mahu turun. Saya pula kaku. Dahan pokok yang saya titipkan langkah untuk naik sudah tiada. Hilang.

“Aku tak boleh turun,” kata saya.

“Turunlah cepat,” gesa Siti Khadijah.

Budak lelaki itu, boleh pula dia kata mahu panggil rakan-rakan dia yang lain, Suruh tengok ‘monyet’ panjat pokok manggis tidak boleh turun. Sabar sahajalah.



Akhirnya berjaya juga turun. Sumpah!! Lepas dari kejadian tersebut, saya tidak pernah panjat pokok buah sehingga kini. Jika berada di tingkat 3 dan ke atas. Saya jarang sekali pandang ke bawah dari tepi koridor.

Bertahanlah Kau Ada Tuhan

            Acapkali apabila berlaku sesuatu yang kita tidak ingini, takdir yang akan disalahkan dahulu. Sedangkan kita tahu hakikatnya setiap perkara sudah tertulis buat kita sejak dari azali kecuali dengan izin Allah sesuatu yang mustahil bagi kita dan tidak mustahil bagi Allah akan juga berlaku.

            Apabila bercakap tentang agama, sudah tentu saya tidak mahir tentang itu. Kefahaman tentang takdir dan ketentuan Allah itu secara insaniahnya kita akan ketahui sendiri sebagai hamba Allah yang diciptakan kita untuk mengagungkanNya.

            Kadangkala ada beberapa perkara yang saya rasakan tidak adil bagi seseorang itu untuk menghadapinya. Mengapa begitu? Kenapa tidak begini? Kenapa dia? Kenapa aku?

            Bahayanya apabila kita letak buruk sangka terhadap Allah swt. Apa yang diputuskan Allah pada kalamNya kesemuanya adalah benar. Setiap yang Allah sediakan untuk kita juga benar.

            Jika kita kecewa, jangan letak kekecewaan itu kepada Allah. Apabila kita mengalami kesusahan, jangan letakkan kesusahan itu kepada Allah, mengadulah dan berserahlah kepadaNya. Berdoalah dengan perkataan yang baik-baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya.

            Tidak mungkin Allah akan memberikan keburukan setelah kita berdoa tentang kebaikan. Setiap apa yang berlaku, muhasabah diri tentang perkara lalu dan sedang kita lakukan. Kesilapan tetap ada pada kita. Sebaik-baik Pencipta hanyalah Allah.

            Menyedari tentang kekurangan diri, saya menulis tentang ini. Kekecewaan yang saya pendam bertahun lamanya. Saya telah buang perlahan-lahan. Siapa saya untuk menghukum ketentuan Allah? Siapa saya untuk menolak takdir Allah? Terlupa tentang itu, sesungguhnya tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izinNya, Maha Suci Allah.

            Bertahanlah dengan ujian Allah. Dia berhak menguji kita. Berdoalah agar hati tidak berbolak balik dan kembali semula  kepada Allah. Tidak sesekali, tidak terlepas sesaatpun Allah merindui doa yang dititip hamba-Nya

            Terima kasih Allah..  Kerana sentiasa memberi peluang untuk saya berada dekat dengan Mu dan berikan saya ilham dan keizinan untuk melukis dan menulis.