Monday, March 27, 2017

Jatuh Hati Kepada Dunia Animasi

“Akan memikul tiada berbahu, akan menjunjung kepala kuncung”
Tidak berupaya mengerjakan sesuatu pekerjaan kerana tiada kemahiran atau kemampuan – Peribahasa Melayu.

            Pepatah itu ibarat keadaan saya ketika mula bekerja sebagai pelukis animasi. Banyak yang tidak tahu dari tahu,bahkan saya juga tidak ada ilmu atau kemahiran teknik melukis animasi.

            Jawatan sebagai Junior Computer Editor, tugas saya lebih ke arah mewarnakan watak-watak animasi. Kedengaran seperti agak mudah. Saya wajib berpandukan “storyboard”,dan  menjaga “kontiniti” jalan cerita untuk memastikan warna pada watak animasi tidak berlaku kesilapan seperti pakaiannya dan warna kulit.

            Watak-watak utama dan sampingan serta latar belakang,hampir kesemuanya dihasilkan dengan menggunakan lukisan tangan. Lukisan animasi yang dilukis oleh aminator pula dipanggil sebagai 2D 
(2 Dimensi). – berkenaan 2D ini akan diterangkan pada entri yang akan datang. In Shaa Allah..

            Saya juga diberi latihan amali dan praktikal selama seminggu untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan mengenai dunia animasi dengan lebih baik, antara latihan yang diberikan adalah seperti pengenalan animasi, teknik garisan,jalinan, ton warna, gaya tubuh dan emosi. Amali dan praktikal saya tidak seluas pelukis animasi yang baharu, mereka akan didedahkan dengan lebih banyak teknik.

            Siri animasi yang pernah saya terlibat pembikinannya seperti siri Alif, siri Kenyalang, siri Abang Sidi, manakala pembabitan terbesar saya dalam animasi adalah filem PUTIH. 

Cuba cari yang mana satu saya?

Definisi Doodle

            Doodle adalah sebuah lukisan yang mudah, ringkas dan dilukis tanpa sedar. Kebiasaannya doodle ini dilukis secara rawak dan berulang di atas pelbagai jenis material di antaranya kertas putih bersaiz A4, A3, kanvas, tote bag, pada kulit hadapan buku, gelas, konkrit dan pelbagai jenis medium.

            Saya mencari kefahaman saya mengenai maksud doodle dengan lebih terperinci dan saya temui beberapa info mengenai maksud lukisan yang digambarkan sebagai doodle yang digambarkan melalui perspektif masing-masing.

“Doodles memiliki maksud abstrak  tersendiri hasil dari susunan corak yang terlintas difikiran secara pantas. Lukisan selalunya terdiri daripada landskap, watak komik dan TV, corak geometrik dan organik, atua apa sahaja yang coretan secara cepat dan ringkas. Contoh stereotaip contengan doodle boleh dilihat adalah pada buku para pelajar yang mengelamun atau kehilangan minat di dalam kelas.”  - Sumber dari : www.azhan.co/apakah-maksud-doodle/

Dari mula dapat tugasan ni gua fikir nate beghuk gilo apa doodle ni ya. Apa yang gua nak lukis? Google tengok apa doodle, macam mana rupa ilustrasi doodle. Bila dah tengok contoh yang ada, "kalo cam ni gua dah lukis stail/genre doodle lama dah rupanya!" tegas gua pada diri sendiri.  Hanya tak tahu namanya doodle. Senang saja lukis doodle ni rupanya. Pusing sana, cilok sini, tarik sana dan ulang-ulang balik lukis objek yang sama.”

Doodle Art atau biasa disebut Doodle ini mempunyai ciri, khas dan cara melakukan yang bisa dibilang cukup mudah dilakukan tapi bisa bernilai seni tinggi loh. Sebelum kita akan bahas lebih lanjut lagi, doodle ini juga mempunyai sejarah singkatnya, dan berikut adalah sejarahnya:
Sebuah doodle adalah gambar tidak fokus atau tidak sadar dibuat saat perhatian seseorang jika tidak ditempati. Doodles adalah gambar sederhana yang dapat memiliki makna representasi beton atau mungkin hanya bentuk-bentuk abstrak.”  


Secara kesimpulannya, doodle adalah salah sebuah cabangan seni yang memiliki definasi yang tersendiri. Bergantung kepada pelukis doodle untuk memberi gambaran sama ada doodle yang  dilukis mempuunyai makna atau sebaliknya.

Terima kasih Cikgu!

           Ketika belajar di sekolah menengah, saya mengambil aliran biasa. Walaupun minat kepada seni lukisan saya tidak mengambil subjek tersebut untuk senarai matapelajaran SPM. Minat saya lebih terarah kepada matapelajaran Ekonomi dan Geografi.     

           Pernah tertangkap kerana membantu dua orang rakan membuat logo dan salah satu daripada lukisan itu mendapat tempat kedua, saya di arahkan untuk berjumpa guru pendidikan seni. Memang hati penuh debar ibarat mahu berjumpa dengan guru displin. Saya pasti kesalahan saya adalah sangat besar. Masuk sahaja ke bilik seni, dua lukisan sudah berada di meja guru.

            “Awakkah yang melukis kedua-dua logo ni?” tanya guru seni saya.

            “ Saya. Cikgu,” jawab saya 

            “ Saya tahu lukisan ini dilukis oleh orang yang sama kerana teknik lukisan hampir
               sama. Saya tidak marah awak, saya marah kedua-dua rakan awak kerana menipu
               dalam pertandingan,”

            Lega rasa. Kemudian cikgu  pendidikan seni mengeluarkan sebuah buku seni untuk saya baca dirumah dan dia minta saya untuk kembali semula bertemunya pada esok hari. Esoknya saya bertemu cikgu seni untuk memulangkan buku. Saya tidak membaca sebenarnya, tetapi saya membelek setiap lukisan di dalam buku tersebut. Ia sangat mengasyikkan. Baru saya tahu lukisan bukan sekadar coretan atau loretan di atas kertas, tetapi ilmu seni ini sangat luas dan banyak cabnagannya.

            Cikgu seni saya adalah orang pertama yang mengesan bakat saya untuk diketengahkan. Sudah namanya pun cikgu seni yang mengajar pendidikan seni, memanglah dia orang pertama yang mampu mengesan bakat melukis saya. (Ketawa sambil menutup mulut). Dia syorkan saya untuk mendaftar kelas pendidikan seni dan mengambil subjek lukisan untuk SPM, dan ini bermaksud ayah terpaksa menambah bayaran untuk kertas peperiksaan saya.

            Masih saya ingat lagi, saya bersama seorang rakan (terlupa pula siapa) datang ke bilik guru untuk bertemu guru kelas. Masihkuat ingatan yang saya meminta kepada guru kelas untuk dibenarkan membayar yuran secara perperingkat kerana ketika itu, 4 orang adik beradik saya sedang belajar, adik yang kedua bakal mengambil PMR. Manakala yang ketiga di darjah 6.
         
           Adik saya yang menduduki peperiksaan PMR pada tahun yang sama saya menggambil SPM sedang belajar di asrama. Kasihan saya kepada ayah, kerana kewangan kami agak terhad ketika itu, walaupun ayah bekerja di sektor kerajaan tetapi ayah menampung perbelanjaan kami semua dan emak saya seorang surirumah sepenuh masa.

            Berbalik kepada cerita kelas pendidikan seni, akhirnya saya mendaftar dan menambah matapelajaran pendidikan seni untuk peperiksaan SPM setelah diberi motivasi dan kata-kata semangat yang tinggi. Hasil ke kelas pendidikan seni, lukisan saya sentiasa berada di papan kenyataan bilik seni, dan paling hebat bagi saya, apabila lukisan batik kumpulan saya di pamerkan di ruang kantin sekolah.


            Saya ingatkan berada di kelas pendidikan seni hanya melukis dan membuat kraftangan. Tetapi tidak semudah itu, saya terpaksa juga membaca dan menghafal seperti matapelajaran yang lain. Perlu hafal jenis-jenis warna (asas, sekunder dan tertier), jenis-jenis garisan dan lain-lain lagi (pengunaan perkataan lain-lain lagi ini sebab saya terlupa lansung apa lagi yang saya belajar Haha...) 

Terima kasih cikgu Lina, kerana memilih saya berada di dalam kelas cikgu ketika itu.

Emak Saya Kata Kalau Makan KFC Muntah Darah!!

          Kami menerima seorang pelajar deseleksia pada tahun 2009, ketika itu saya masuk tahun kedua berada dikelas pendidikan khas.  Mulanya kami ingatkan pelajar ini di dalam kategori lemban. Kerana tidak tahu lansung dan mengenali nombor dan huruf, apatah lagi membaca dan menulis.

            Penyelaras saya dapat mengesan pelajar ini sebagai penghidap deseleksia apabila diminta untuk menulis sepotong ayat, dia menulis dari arah kanan ke kiri. Tulisannya rapat-rapat dan tiada ruang pemisah di antara satu perkataan kepada perkataan yang lain. Orangnya sangat aktif, sehinggakan tidak boleh duduk satu tempat dalam tempoh masa yang lama. Paling kurang 5 ke 10 minit sahaja.

            Pelbagai teknik dan cara yang kami gunakan untuk membuat dia duduk di tempat sendiri dengan tempoh yang lama. Kami letakkan dia di antara pelajar-pelajar yang lebih dewasa, itu cara terakhir kami dan nampaknya lebih berjaya.

            Pada setiap penggal akhir tahun persekolahan, kelas akan mengadakan jamuan akhir tahun. Kami memesan KFC dan Pizza Hut sebagai jamuan. Sedang semua enak menjamu selera, saya pelik kenapa pelajar deseleksia ini tidak menjamah ayam KFC. Saya ingatkan dia tidak mahu.

“Izwan, kenapa awak tak mahu makan ayam KFC ? Nanti saya bagi pada kawan awak yang lain,” kata saya.

Saya tak mahu dia bawa pulang. Bukan apa, ayam KFC itu cuma ada sepotong sahaja, takut dia berebut dengan adik-adik yang lain bila di bawa pulang. Kasihan pula.

“Saya tak nak makan cikgu. Emak saya kata, kalau makan KFC nanti muntah darah,” jawab dia.


*** Terpaku saya. 

Apa fasal mak dia boleh cakap begitu sekali?

Bila saya selidik latar belakang anak jagaan saya ini, baru saya sedar mengapa emaknya berkata begitu.

1) Dia ini datang bukan dari keluarga yang senang.
2) Pendapatan keluarga bergantung sepenuhnya kepada ayah yang mengambil upah bekerja di kebun orang.
3) Mungkin emak dia, tidak mahu biasakan dia meminta sesuatu yang tidak mampu diberi. 

Saya sudah jelas tentang mengapa ibunya berkata begitu. Tidak mengapalah awak, makan atau tidak KFC tidak akan jadi apa-apa. Rugi pun tidak. 

Semoga awak membesar dengan baik. Walaupun ada kekurangan, moga Allah sediakan kelebihan berganda buat awak bila besar nanti.
Semoga dia menjadi insan yang sentiasa di sayangi Allah
x


Temuduga sebagai pelukis animasi

            Pada tahun 2010 hingga 2012, saya bekerja di dalam bidang animasi. Nasib saya sedikit baik apabila saya ditawarkan bekerja sebagai JUNIOR COMPUTER EDITOR di Syarikat Fine Animation (M) Sendirian Berhad  anak syarikat kepada EUROFINE (M) Sendirian Berhad.

            Seingat saya semasa temuduga dijalankan, soalan pertama yang ditanya oleh pegawai penemuduga  seperti ini,

 “ Awak boleh melukis ? ”

“  Adakah awak minat melukis ? ”

            Untuk berpotensi untuk mendapatkan pekerjaan tersebut , saya menjawab “ Ya,” bagi kedua-dua soalan dengan penuh yakin. Persediaan saya ketika hadir temuduga dengan membawa lukisan yang dilukis pada malam sebelum hari kejadian (temuduga).
           
                      




Saya merasakan teknik lukisan saya sangat ‘bersepai’. Hahaha...Ini di antaranya lukisan yang masih dalam simpanan saya. Seram sejuk juga untuk saya menunjukkan hasil kecil ini. Pegawai penemuduga kemudiannya meminta saya melukis beberapa karektor memek muka secara lansung di atas kertas yang telah disediakan. Menggeletar jugalah ketika itu. Usai melukis, saya tunggu juga respon pegawai ini untuk menilai. Senyap. Cuma ucapan "terima kasih" dan "kami akan menghubungi anda jika anda berjaya". Itu sahaja.


            Selang beberapa hari, saya menerima panggilan dan diminta hadir untuk melaporkan diri. Maka bermulalah episod hidup saya bekerja di dalam dunia animasi. Sudah terbayang bermacam-macam perkara dalam fikiran. 

Doddle pertama

Sewaktu saya sedang berkursus di Pulau Tioman sekitar tahun 2010.  Satu slot ini membuatkan saya terasa mengantuk yang keterlaluan. Rakan disebelah  kerap menegur kerana saya sering terlelap. Isi di dalam buku catatan tidak dapat dibaca akibat tulisan seperti cacing kerawit kepanasan, berpintal-pintal hurufnya.  Kemudian  saya cuba melukis, bentuk pertama saya lukis adalah “hati”  dan  tidak sengaja menghasilkan  sebuah lukisan yang boleh saya anggap agak comel (masuk bakul dan angkat sendiri. Hahaha..)

Ilham melukis lukisan ini (seperti di bawah) setelah menonton sebuah rancangan dokumentari disalah sebuah televisyen tempatan yang menampilkan pelukis-pelukis graftiti tempatan.  Uniknya mereka ini melukis tanpa menggunakan pensil dan mereka melukis menggunakan “spray” dengan pelbagai warna yang menarik.

Haa... Lukisan ini dihasilkan oleh saya dengan 100 % idea sendiri,  lukisan saya agak sedikit celaru dengan ada lebah dan burung (kalau dilihat kepada lukisan tersebut seakan ayam, tetapi bukan sebenarnya.) Asalnya konsep ini saya mahu buat seperti ala-ala islamik sedikit tetapi hasilnya seperti aneh sedikit.

Kemudian dengan rasa rendah hati, saya berkongsi hasil karya kecil ini di dalam Muka Buku (Facebook) dan tidak menyangka yang lukisan ini mendapat respon dan komentar yang baik dari rakan-rakan Muka Buku.


            Pada salah sebuah komen tersebut ditulis berkenaan lukisan doodles, maka dengan rasminya pada hari tersebut baru saya ketahui tentang lukisan doodles ini.

Ilham datang dari Pulau Tioman