Friday, June 2, 2017

Doodle Khat

            Pencetus ilham melukis doodle khat ketika saya sedang mencari satu hadiah yang boleh diberikan semasa Majlis Akhir Tahun untuk Persatuan Daerah. Setiap daripada kami perlu membawa hadiah yang berharga RM 30, tidak kisah apa jenis hadiah asalkan ia berharga seperti yang telah ditetapkan.

            Puas saya mencari hadiah yang sesuai, khuatir apa yang saya beri tidak memberikan kepuasan kepada yangmenerima, lalu saya membuat keputusan untuk memberikan salah satu daripada koleksi simpanan doodle yang telah saya lukis.

            Lukisan  doodle itu perlu bersesuaian dan boleh diletakkan sebagai perhiasan, saya perlukan doodle yang sesuai. Malangnya saya tidak menjumpai doodle yang sesuai, kerana doodle yang saya lukis semuanya simpel.

            Seperti biasa, saya akan membuat carian di internet. Masih juga tidak menemukan yang  bersesuaian. Kemudian saya meminta cadangan dari seorang rakan sekerja (menetap di Terengganu) yang juga sedang aktif melukis doodle ketika itu, beliau mencadangkan melukis sesuatu yang lain dari kebiasaan saya lukis.

Beliau menyarankan saya melukis tulisan khat pilihan nama-nama Allah yang bersesuain. Katanya, doodle khat tersebut amat bersesuaian dijadikan hadiah. Pasti ramai yang berebut mahukannya. Aduh! Menulis khat bukan kreativiti saya. Saya tidak mampu.

Saranan tersebut saya sambut. Tulisan nama Allah saya ambil daripada sebuah kad yang mengandungi nama-nama Allah (As maul – Husna). Saya pilih yang mudah untuk saya lukis. Kesilapan sentiasa ada, saya usahakan perlahan-lahan. Alhamdulillah.. Terhasillah doodle khat  untuk saya berikan nanti.


Kadangkala kita kena keluar daripada kepompong kebiasaan untuk lihat yang luar biasa.

Tuesday, May 30, 2017

Majlis Aqiqah Anak Saudara

Majlis Aqiqah anak saudara saya, berlansung di rumah ayah dan bonda. Adik (Uda-Adik ketiga)  mahukan majlis itu dipasang buaian dan dihias supaya kelihatan cantik dan menarik, sebagai seorang kakak saya bersetuju untuk membantu menyediakan buaian yang berkonsepkan taman.
            Sebelum membuat kerja yang melibatkan seni ini, kebiasaanya saya akan membuat carian di internet. Mahu mengambil sedikit ilham untuk dijadikan sebagai panduan.
            Saya menggunakan bahan yang mudah untuk membuat tirai, iaitu
  1.   Menggunakan ampaian kain
  2.    Langsir lama mak
  3.    Jarum dan Benang
  4.   Kertas A4 untuk bunga hiasan


            Setiap perincian yang saya buat, saya akan merujuk semula kepada adik. Memastikan dia berpuas hati dengan hasil kerja saya. Jika tidak, saya akan ubah seperti yang dimahukan.
            Majlis-majlis aqiqah sebelum ini diuruskan oleh adik saya yang kedua. Dia memang sangat mahir dalam menyusun atur dan tatarias, oleh kerana dia terikat dengan kelas hujung minggu, dia pulang pada hari kejadian.

            Alhamdulillah.. Setelelah jerit perih membuat tatarias dan beberapa kali mengubah susun atur, adik berpuas hati, yang hadir ke majlis pada hari tersebut sampai salah sangka, mereka ingatkan ada majlis pertunangan. Mujur ada buaian sebagai tanda di ruangan tengah.



Bunga dibahagian luar itu saya lukis. Tulisan pula saya menggunakan font Words

Kita Tahu Kita Ini Siapa

Kita paling takut apabila orang melihat kita seorang yang tidak baik dan membawa pengaruh negatif kepada yang lain, sedangkan kita tidak berbuat demikian.
Dan yang paling-paling takut apabila orang melihat kita sebagai seorang yang sangat baik dan sangat berpelajaran tetapi hakikatnya, kita hebat berkata seperti nabi-nabi tetapi amalan seperti labi-labi.
Mencorak diri kita adalah kita sendiri, mungkin sedikit, mungkin juga banyak dipengaruhi oleh orang lain.
‘Cermin diri sendiri ‘ itu kita tidak perlu ajukan kepada orang lain, tetapi lebih baik kepada diri kita sendiri. Kita lebih banyak mengetahu tentang diri sendiri berbanding dengan orang lain, belum terlambat lagi jika kita mempunyai ruang masa yang banyak untuk berubah. Sekalipun ruang masa itu kecil, itu bukan alasan untuk tidak berubah.
Perkara yang baik yang datang dalam diri akan membawa aura yang positif kepada orang lain. Kita tidak rugi, orang yang bersama kita selesa.
            ****
Selamat menjadi diri sendiri


Monday, May 29, 2017

Kad - Warna Air

             Setelah beberapa kali membuat latih tubi menggunakan warna air, saya mula beralih dari latihan tersebut kepada sesuatu yang lebih berani. Melukis terus di atas kertas.

            Tetapi untuk mengaplikasikan keseriusan di atas kertas, saya menggunakan kertas A4 180gm. Ia lebih tebal sedikit berbanding kertas A4 biasa. Rujukan tetap saya gunakan untuk mencari kepelbagaian ketika melukis.

            Saya menggunakan dua jenis berus warna iaitu ‘round’  dan ‘point round’ kerana dua jenis ini amat bersesuaian dengan saya yang baru mahu memulakan latihan.  




                                     Sumber dari internet : Jenis-jenis berus warna

            Mengikut kepada kefahaman saya mengenai lukisan warna air ini, teknik pembuatannya sangat penting bagi menghasilkan tona warna yang menarik dengan corak atau lukisan yang cantik.

            Ini hasil garapankecil saya. Alhamdulillah.. Tanpa izin Allah, saya tidak dapat melukis seperti ini. Saya masih cemburu (yang sihat) kepada mereka yang mampu melukis dengan cantik sekali.










Majlis Lambaian Kasih

Terima kasih kepada guru dan kakitangan, sahabat dan kekanda-kekanda yang telah mengadakan majlis lambaian kasih bersempena perpindahan saya ke sekolah baharu. Berkongsi majlis perpisahan Cikgu Halim dan persaraan Guru Besar serta GPK 1.
Rasa malu menebal sebenarnya setelah lama tidak bertemu dengan mereka. Kembang dan tidak boleh pula menguncup saya menahan rasa segan.
Perkara paling membuat rasa hati tidak keruan, diletakkan saya semeja dengan Guru Besar sekeluarga dan GPK 1 sekeluarga. Mati kata-kata saya dihadapan mereka.
Nasib baik saya makan kenyang, yang bahagian ini saya mampu tangani. Hahaha...Okey berbalik kepada majlis tersebut, saya kebuntuan menyediakan teks. Sungguh saya tidak perasan saya akan berucap dihadapan mereka semua. Kaku. Bila diingat-ingat kembali, merapu sungguh teks saya.
Ucapan ribuan terima kasih di atas pemberian hadiah yang bermakna. Hari guru, terima almari kecil. Majlis perpisahan dihadiahkan pula kipas meja yang cantik. Memang kedua-duanya saya sangat memerlukan. Kebetulan.
           Terima kasih Allah kerana semuanya kelihatan teratur.
Terima kasih kepada kalian yang bersusah payah menyediakan dan mempersiapkan dengan hal yang indah-indah. Semoga Allah membalas keiklasan kalian.

Maafkan saya kegugupan berucap waktu itu.
Guru Besar seorang lelaki, kalau mahu tahu yang mana satu dia. Itu.. Ha.. Yang buat bentuk hati. :)

Tapis Nenek Di Buat Sauk Ikan

Kenangan.

Asalnya saya tidak tahu parit di hadapan rumah nenek saya ada ikan laga hidup sihat dan membiak dengan baik. Sepupu lelaki sebelah ayah memancing di parit tersebut. Tidak dapat seekor pun ikan besar. Katanya, cuma terdapat ikan kecil-kecil sahaja.

Saya minta dia tangkapkan ikan kecil. Mahu lihat. Dia pun masuk ke dalam parit dan sauk menggunakan tangan. Mudah sungguh untuk menangkap ikan ini. Pertama kali melihat, saya teruja. Warna ikan itu sangat cantik dan berkilat dan misi menangkap menjadi serius.

Habis tapis nenek kami gunakan untuk menyauk ikan kecil ini. Mulanya saya meminta sepupu lelaki menangkap ikan-ikan ini lebih banyak. Lama-kelamaan saya pun turut serta masuk ke dalam parit. Sauk sekali.

Marah nenek bukan kepalang, mananakan tidak, habis tapisnya kami gunakan untuk dibuat sauk. Ikan-ikan kecil yang kami tangkap di pulangkan semula ke parit. Nenek kami kata, baik lepaskan dari dibuat main sampai mati.

Kini nenek terlantar sakit kerana dimamah usia tua. Walaupun begitu, nenek tidak lansung meninggalkan solat. Cuma mata nenek kabur dan telinganya tidak dapat menangkap suara dengan jelas.


Sentiasa mendoakan nenek dipermudahkan urusan olehNya.


Love Hanya Untuk Yang Hak

Sengaja saya berseloroh dengan rakan mengenai lagu kegemaran apabila mahu menyanyi ketika dilanda kebosanan.
            Tenda biru dan Pelamin anganku musanah, jawab saya ringkas.
            Saya fikirkan mereka akan bersimpati apabila dua buah lagu itu menjadi pilihan saya. Sementelah saya ini masih solo molo. Makin galak pula mereka gelak.
Iyalah.. Namanya pun berseloroh. Jadi saya pun gelaklah sama, gelakkan diri sendiri.
            Pada saya, di dalam hayat ini, jika tiada senda gurau. Tiadalah kenangan manis untuk kita simpan dan senyum-senyum sendiri. Rasulullah s.a.w juga pandai bergurau. Cuma gurauan kita itu kenalah pada tempat, keadaan dan orangnya.
***
            Sebenar-benarnya, memang dua buah lagu itu antara lagu kegemaran saya, bukan sekadar suka tetapi membawa cerita tentang kisah silam yang bukan untuk dikenang tetapi perlu dikenang. Payah bukan? 

            Tidak sebenarnya.

            Perihal tentang hati, ia sebenarnya sesuatu yang sukar untuk difahami. Malahan seorang yang hebat dalam bidang sains dan matematik juga tidak mampu mengungkai masalah yang melibatkan hati.

            Bagi saya mengenang peristiwa silam, membawa kita kepada satu perkara yang baharu untuk membina diri samada kita berubah kerananya atau diubah kerananya. Ia bergantung kepada kita sendiri.


            Cuma yakinilah, letakkan Allah di dalam hati. Ia adalah anugerah sanubari yang tidak boleh dijual beli malah tidak berbelah bagi. Allah menyediakan hati itu, untuk menguji kita sebagai hambaNya. Bagaimana meletakkan “love” itu kepada yang hak.