Saturday, June 3, 2017

MURAL

           Penggal cuti sekolah yang panjang, saya dan rakan mengambil kesempatan untuk melukis mural sebagai salah satu aktivti menceriakan kelas. Kebiasaannya pada cuti sekolah inilah saya mempunyai peluang yang banyak untuk menyusun dokumen, mengemas kelas, membersihkan tapak tanaman dan melukis mural.

            Saya memilih lukisan yang mudah dan ringkas untuk dilukis pada dinding kelas. Melukis dan mewarna di atas dinding tidak sama seperti melukis dan mewarna di atas kertas. Jika tersilap, wajib teruskan sahaja. Buat sentuhan kecil untuk menidih lukisan yang salah pada dinding.

Ini di antara lukisan mural ringkas yang pernah saya lukis.

          
           Lukisan ini ada makna disebaliknya. Ketika itu, kamera telefon bimbit tidak secanggih pada zaman kini. Ini sahaja gambar yang ada dalam simpanan saya.

            Ini Lukisana mural saya yang pertama. Saya mahu orang lihat bukan hanya sekadar lukisan semata-mata, tetapi mesej yang ingin saya sampaikan. Adaptasi dari kisah-kisah donggeng. Anak angsa hodoh, kura-kura yang berlawan lari dengan arnab, putera katak dan ikan kaloi. 

         Saya tidak pasti berapa ramai yang melihat lukisan ini dengan mata hati, kisahnya saya simpan kecuali ada yang bertanya.

            Anak itik hodoh yang lahirnya tidak diiktiraf bangsa sendiri, membawa diri, menempuh pelbagai dugaan dan akhirnya menjadi pujaan. Begitu juga dengan kisah kura-kura, pada awalnya diejek kerana berjalan lambat dan akhirnya menjadi juara kerana tidak putus asa dan tidak patah semangat dengan ejekan nakal pihak lawan. Manakala kisah ikan kaloi yang menjadi mangsa kepada ketamakan manusia.

            Ada beberapa mesej lain yang saya masukkan ke dalam lukisan tersebut dan lukisan mural saya yang lain.  Perhatikan dan rungkaikan yang tersirat. Setiap manusia mempunyai pelbagai andaian dan tanggapan. Terserah bagaimana mereka mentafsir.



Aku dan layang-layang

            Mereka yang membesar sezaman dengan saya iaitu sekitar 80an-90an mempunyai kreativiti di dalam mencipta permainan. Pelbagai permainan menjadikan kami tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi walaupun baru bertemu kali pertama. Bahkan kami akan mengkagumi rakan baru yang kreativitinya lebih menonjol dari kalangan kami sendiri.

            Ketika itu, tiada rujukan melalui internet seperti google dan Youtube untuk membuat permainan, apatahlagi gajet-gajet moden, semua permainan  hanya menggunakan kreativiti dari ‘ilham’ sendiri. Zaman tanpa gajet, jika musim permainan gasing, semua akan bermain gasing, bila timbul musim bermain guli, guli sebesar batu sungai pun boleh muncul. Begitulah perihalnya musim  layang-layang. Habis lidi penyapu emak dibuat rangka layang-layang, suratkhabar ayah (entah sempat membaca atau tidak) menjadi bahan wajib membuat sebuah layang-layang dan pasti semua akan mula mencipta dan berlumba-lumba untuk menerbangkan layang-layang ciptaan masing-masing.

Jika layang-layang berpusing-pusing apabila diterbangkan, makanya ia memerlukan beberapa lagi pengubahsuaian.

            Saya dan Lina (adik nombor dua) juga tidak ketinggalan membuat layang-layang. Jika tidak menjadi, kami akan buat lagi sampai layang-layang kami boleh terbang. Waktu itu juga menjadi musim emak  berleter kerana sampah layang-layang bersepah-sepah serata rumah. Hahaha...

            Untuk mengelakkan emak lebih marah. Layang-layang yang kami buat, akan kami sorokkan. Konon tidak mahu  emak jumpa, kalau tidak, memang sudah tahu ke mana tempat khusus layang-layang itu emak letak. Tetapi tempat persembunyian layang-layang kami diketahui emak juga, adik kami yang masih kecil mengadu. Emak marah. Kata emak, lidi merbahaya jika adik bermain dengan layang-layang, lebih baik dibuang dari disimpan. Takut terkena mata.

            Oleh kerana gagal menerbangkan layang-layang yang kami cipta, kami mencari alternatif lain iaitu membeli sahaja layang-layang yang dijual dikedai . Lagi mudah dan layang-layang tidak berpusing-pusing apabila diterbangkan. Beli, pasang benang dan terbangkan. Mudah. Sebenarnya bukan sekali kami membeli layang-layang, jika koyak atau patah, kami akan beli semula. 

 Waktu itu, layang-layang harga sebuah layang-layang  hanya sekitar RM0.30 hingga RM0.60 seunit. Bermacam-macam bentuk gambar pada layang-layang. Spiderman, Batman, Thundercat, Power Renjer, Ultraman iaitu kartun-kartun siri yang popular pada zaman kecil saya. 

Seperti biasa, cuti hujung minggu persekolahan. Kalau tidak pagi, tengaharilah kami keluar, jika tidak tengahari, petang selepas Asar kami akan keluar. Asalkan kami tahu jalan pulang ke rumah. Untuk mengetahui bila waktu yang paling sesuai untuk keluar bermain, saya akan turun  sekejap dan lihat siapa yang sudah berada dipadang kem. Mula-mula seorang-dua, bila sudah ramai rakyat jelata yang seangkatan, barulah saya dan adik keluar untuk turut sama. 

Selain dari penyapu lidi dan suratkhabar, benang emak juga menjadi mangsa. Bukan sedikit benang kami ambil. Segulung. Kalau dapat yang baharu lagi, yang itu jugalah kami ambil. Biasanya saya menjadi peneraju menaikkan layang-layang dan adik saya sebagai pemegang layang-layang. Kecuali kalau saya sudah penat menaikkan layang-layang yang kononnya mengikut angin, adik saya pula menjadi penerajunya.


Hari itu, sangat menyeronokkan bermain layang-layang. Mula-mula rendah, lama kelamaan dia naik tinggi ke atas. Kami bersorak gembira. Tanpa kami sedar, waktu Maghrib hampir tiba. Bak kata orang, kalau suka biarlah berpada-pada.  Rupa-rupanya ayah sudah tunggu kami di lorong jalan ke rumah kami. Seperti orang hilang darah, kelam kabut. Sudahlah hari itu layang-layang kami memang naik tinggi. Kami pantas menggulung benang layang-layang. Jenuh juga. Sambil menggulung, sambil-sambil kami mengerling ke arah ayah. Ayah sudah cekak pinggang. Terasa lama sangat kami mahu menggulung, putuskan benang adalah cara paling selamat.

            Maka melayang-layanglah layang-layang kami tanpa arah. Kami pulang ikut lorong lain, sebab ayah masih setia menunggu di situ. 


Friday, June 2, 2017

Doodle Khat

            Pencetus ilham melukis doodle khat ketika saya sedang mencari satu hadiah yang boleh diberikan semasa Majlis Akhir Tahun untuk Persatuan Daerah. Setiap daripada kami perlu membawa hadiah yang berharga RM 30, tidak kisah apa jenis hadiah asalkan ia berharga seperti yang telah ditetapkan.

            Puas saya mencari hadiah yang sesuai, khuatir apa yang saya beri tidak memberikan kepuasan kepada yangmenerima, lalu saya membuat keputusan untuk memberikan salah satu daripada koleksi simpanan doodle yang telah saya lukis.

            Lukisan  doodle itu perlu bersesuaian dan boleh diletakkan sebagai perhiasan, saya perlukan doodle yang sesuai. Malangnya saya tidak menjumpai doodle yang sesuai, kerana doodle yang saya lukis semuanya simpel.

            Seperti biasa, saya akan membuat carian di internet. Masih juga tidak menemukan yang  bersesuaian. Kemudian saya meminta cadangan dari seorang rakan sekerja (menetap di Terengganu) yang juga sedang aktif melukis doodle ketika itu, beliau mencadangkan melukis sesuatu yang lain dari kebiasaan saya lukis.

Beliau menyarankan saya melukis tulisan khat pilihan nama-nama Allah yang bersesuain. Katanya, doodle khat tersebut amat bersesuaian dijadikan hadiah. Pasti ramai yang berebut mahukannya. Aduh! Menulis khat bukan kreativiti saya. Saya tidak mampu.

Saranan tersebut saya sambut. Tulisan nama Allah saya ambil daripada sebuah kad yang mengandungi nama-nama Allah (As maul – Husna). Saya pilih yang mudah untuk saya lukis. Kesilapan sentiasa ada, saya usahakan perlahan-lahan. Alhamdulillah.. Terhasillah doodle khat  untuk saya berikan nanti.


Kadangkala kita kena keluar daripada kepompong kebiasaan untuk lihat yang luar biasa.

Tuesday, May 30, 2017

Majlis Aqiqah Anak Saudara

Majlis Aqiqah anak saudara saya, berlansung di rumah ayah dan bonda. Adik (Uda-Adik ketiga)  mahukan majlis itu dipasang buaian dan dihias supaya kelihatan cantik dan menarik, sebagai seorang kakak saya bersetuju untuk membantu menyediakan buaian yang berkonsepkan taman.
            Sebelum membuat kerja yang melibatkan seni ini, kebiasaanya saya akan membuat carian di internet. Mahu mengambil sedikit ilham untuk dijadikan sebagai panduan.
            Saya menggunakan bahan yang mudah untuk membuat tirai, iaitu
  1.   Menggunakan ampaian kain
  2.    Langsir lama mak
  3.    Jarum dan Benang
  4.   Kertas A4 untuk bunga hiasan


            Setiap perincian yang saya buat, saya akan merujuk semula kepada adik. Memastikan dia berpuas hati dengan hasil kerja saya. Jika tidak, saya akan ubah seperti yang dimahukan.
            Majlis-majlis aqiqah sebelum ini diuruskan oleh adik saya yang kedua. Dia memang sangat mahir dalam menyusun atur dan tatarias, oleh kerana dia terikat dengan kelas hujung minggu, dia pulang pada hari kejadian.

            Alhamdulillah.. Setelelah jerit perih membuat tatarias dan beberapa kali mengubah susun atur, adik berpuas hati, yang hadir ke majlis pada hari tersebut sampai salah sangka, mereka ingatkan ada majlis pertunangan. Mujur ada buaian sebagai tanda di ruangan tengah.



Bunga dibahagian luar itu saya lukis. Tulisan pula saya menggunakan font Words

Kita Tahu Kita Ini Siapa

Kita paling takut apabila orang melihat kita seorang yang tidak baik dan membawa pengaruh negatif kepada yang lain, sedangkan kita tidak berbuat demikian.
Dan yang paling-paling takut apabila orang melihat kita sebagai seorang yang sangat baik dan sangat berpelajaran tetapi hakikatnya, kita hebat berkata seperti nabi-nabi tetapi amalan seperti labi-labi.
Mencorak diri kita adalah kita sendiri, mungkin sedikit, mungkin juga banyak dipengaruhi oleh orang lain.
‘Cermin diri sendiri ‘ itu kita tidak perlu ajukan kepada orang lain, tetapi lebih baik kepada diri kita sendiri. Kita lebih banyak mengetahu tentang diri sendiri berbanding dengan orang lain, belum terlambat lagi jika kita mempunyai ruang masa yang banyak untuk berubah. Sekalipun ruang masa itu kecil, itu bukan alasan untuk tidak berubah.
Perkara yang baik yang datang dalam diri akan membawa aura yang positif kepada orang lain. Kita tidak rugi, orang yang bersama kita selesa.
            ****
Selamat menjadi diri sendiri


Monday, May 29, 2017

Kad - Warna Air

             Setelah beberapa kali membuat latih tubi menggunakan warna air, saya mula beralih dari latihan tersebut kepada sesuatu yang lebih berani. Melukis terus di atas kertas.

            Tetapi untuk mengaplikasikan keseriusan di atas kertas, saya menggunakan kertas A4 180gm. Ia lebih tebal sedikit berbanding kertas A4 biasa. Rujukan tetap saya gunakan untuk mencari kepelbagaian ketika melukis.

            Saya menggunakan dua jenis berus warna iaitu ‘round’  dan ‘point round’ kerana dua jenis ini amat bersesuaian dengan saya yang baru mahu memulakan latihan.  




                                     Sumber dari internet : Jenis-jenis berus warna

            Mengikut kepada kefahaman saya mengenai lukisan warna air ini, teknik pembuatannya sangat penting bagi menghasilkan tona warna yang menarik dengan corak atau lukisan yang cantik.

            Ini hasil garapankecil saya. Alhamdulillah.. Tanpa izin Allah, saya tidak dapat melukis seperti ini. Saya masih cemburu (yang sihat) kepada mereka yang mampu melukis dengan cantik sekali.










Majlis Lambaian Kasih

Terima kasih kepada guru dan kakitangan, sahabat dan kekanda-kekanda yang telah mengadakan majlis lambaian kasih bersempena perpindahan saya ke sekolah baharu. Berkongsi majlis perpisahan Cikgu Halim dan persaraan Guru Besar serta GPK 1.
Rasa malu menebal sebenarnya setelah lama tidak bertemu dengan mereka. Kembang dan tidak boleh pula menguncup saya menahan rasa segan.
Perkara paling membuat rasa hati tidak keruan, diletakkan saya semeja dengan Guru Besar sekeluarga dan GPK 1 sekeluarga. Mati kata-kata saya dihadapan mereka.
Nasib baik saya makan kenyang, yang bahagian ini saya mampu tangani. Hahaha...Okey berbalik kepada majlis tersebut, saya kebuntuan menyediakan teks. Sungguh saya tidak perasan saya akan berucap dihadapan mereka semua. Kaku. Bila diingat-ingat kembali, merapu sungguh teks saya.
Ucapan ribuan terima kasih di atas pemberian hadiah yang bermakna. Hari guru, terima almari kecil. Majlis perpisahan dihadiahkan pula kipas meja yang cantik. Memang kedua-duanya saya sangat memerlukan. Kebetulan.
           Terima kasih Allah kerana semuanya kelihatan teratur.
Terima kasih kepada kalian yang bersusah payah menyediakan dan mempersiapkan dengan hal yang indah-indah. Semoga Allah membalas keiklasan kalian.

Maafkan saya kegugupan berucap waktu itu.
Guru Besar seorang lelaki, kalau mahu tahu yang mana satu dia. Itu.. Ha.. Yang buat bentuk hati. :)