Tuesday, May 30, 2017

Majlis Aqiqah Anak Saudara

Majlis Aqiqah anak saudara saya, berlansung di rumah ayah dan bonda. Adik (Uda-Adik ketiga)  mahukan majlis itu dipasang buaian dan dihias supaya kelihatan cantik dan menarik, sebagai seorang kakak saya bersetuju untuk membantu menyediakan buaian yang berkonsepkan taman.
            Sebelum membuat kerja yang melibatkan seni ini, kebiasaanya saya akan membuat carian di internet. Mahu mengambil sedikit ilham untuk dijadikan sebagai panduan.
            Saya menggunakan bahan yang mudah untuk membuat tirai, iaitu
  1.   Menggunakan ampaian kain
  2.    Langsir lama mak
  3.    Jarum dan Benang
  4.   Kertas A4 untuk bunga hiasan


            Setiap perincian yang saya buat, saya akan merujuk semula kepada adik. Memastikan dia berpuas hati dengan hasil kerja saya. Jika tidak, saya akan ubah seperti yang dimahukan.
            Majlis-majlis aqiqah sebelum ini diuruskan oleh adik saya yang kedua. Dia memang sangat mahir dalam menyusun atur dan tatarias, oleh kerana dia terikat dengan kelas hujung minggu, dia pulang pada hari kejadian.

            Alhamdulillah.. Setelelah jerit perih membuat tatarias dan beberapa kali mengubah susun atur, adik berpuas hati, yang hadir ke majlis pada hari tersebut sampai salah sangka, mereka ingatkan ada majlis pertunangan. Mujur ada buaian sebagai tanda di ruangan tengah.



Bunga dibahagian luar itu saya lukis. Tulisan pula saya menggunakan font Words

Kita Tahu Kita Ini Siapa

Kita paling takut apabila orang melihat kita seorang yang tidak baik dan membawa pengaruh negatif kepada yang lain, sedangkan kita tidak berbuat demikian.
Dan yang paling-paling takut apabila orang melihat kita sebagai seorang yang sangat baik dan sangat berpelajaran tetapi hakikatnya, kita hebat berkata seperti nabi-nabi tetapi amalan seperti labi-labi.
Mencorak diri kita adalah kita sendiri, mungkin sedikit, mungkin juga banyak dipengaruhi oleh orang lain.
‘Cermin diri sendiri ‘ itu kita tidak perlu ajukan kepada orang lain, tetapi lebih baik kepada diri kita sendiri. Kita lebih banyak mengetahu tentang diri sendiri berbanding dengan orang lain, belum terlambat lagi jika kita mempunyai ruang masa yang banyak untuk berubah. Sekalipun ruang masa itu kecil, itu bukan alasan untuk tidak berubah.
Perkara yang baik yang datang dalam diri akan membawa aura yang positif kepada orang lain. Kita tidak rugi, orang yang bersama kita selesa.
            ****
Selamat menjadi diri sendiri


Monday, May 29, 2017

Kad - Warna Air

             Setelah beberapa kali membuat latih tubi menggunakan warna air, saya mula beralih dari latihan tersebut kepada sesuatu yang lebih berani. Melukis terus di atas kertas.

            Tetapi untuk mengaplikasikan keseriusan di atas kertas, saya menggunakan kertas A4 180gm. Ia lebih tebal sedikit berbanding kertas A4 biasa. Rujukan tetap saya gunakan untuk mencari kepelbagaian ketika melukis.

            Saya menggunakan dua jenis berus warna iaitu ‘round’  dan ‘point round’ kerana dua jenis ini amat bersesuaian dengan saya yang baru mahu memulakan latihan.  




                                     Sumber dari internet : Jenis-jenis berus warna

            Mengikut kepada kefahaman saya mengenai lukisan warna air ini, teknik pembuatannya sangat penting bagi menghasilkan tona warna yang menarik dengan corak atau lukisan yang cantik.

            Ini hasil garapankecil saya. Alhamdulillah.. Tanpa izin Allah, saya tidak dapat melukis seperti ini. Saya masih cemburu (yang sihat) kepada mereka yang mampu melukis dengan cantik sekali.










Majlis Lambaian Kasih

Terima kasih kepada guru dan kakitangan, sahabat dan kekanda-kekanda yang telah mengadakan majlis lambaian kasih bersempena perpindahan saya ke sekolah baharu. Berkongsi majlis perpisahan Cikgu Halim dan persaraan Guru Besar serta GPK 1.
Rasa malu menebal sebenarnya setelah lama tidak bertemu dengan mereka. Kembang dan tidak boleh pula menguncup saya menahan rasa segan.
Perkara paling membuat rasa hati tidak keruan, diletakkan saya semeja dengan Guru Besar sekeluarga dan GPK 1 sekeluarga. Mati kata-kata saya dihadapan mereka.
Nasib baik saya makan kenyang, yang bahagian ini saya mampu tangani. Hahaha...Okey berbalik kepada majlis tersebut, saya kebuntuan menyediakan teks. Sungguh saya tidak perasan saya akan berucap dihadapan mereka semua. Kaku. Bila diingat-ingat kembali, merapu sungguh teks saya.
Ucapan ribuan terima kasih di atas pemberian hadiah yang bermakna. Hari guru, terima almari kecil. Majlis perpisahan dihadiahkan pula kipas meja yang cantik. Memang kedua-duanya saya sangat memerlukan. Kebetulan.
           Terima kasih Allah kerana semuanya kelihatan teratur.
Terima kasih kepada kalian yang bersusah payah menyediakan dan mempersiapkan dengan hal yang indah-indah. Semoga Allah membalas keiklasan kalian.

Maafkan saya kegugupan berucap waktu itu.
Guru Besar seorang lelaki, kalau mahu tahu yang mana satu dia. Itu.. Ha.. Yang buat bentuk hati. :)

Tapis Nenek Di Buat Sauk Ikan

Kenangan.

Asalnya saya tidak tahu parit di hadapan rumah nenek saya ada ikan laga hidup sihat dan membiak dengan baik. Sepupu lelaki sebelah ayah memancing di parit tersebut. Tidak dapat seekor pun ikan besar. Katanya, cuma terdapat ikan kecil-kecil sahaja.

Saya minta dia tangkapkan ikan kecil. Mahu lihat. Dia pun masuk ke dalam parit dan sauk menggunakan tangan. Mudah sungguh untuk menangkap ikan ini. Pertama kali melihat, saya teruja. Warna ikan itu sangat cantik dan berkilat dan misi menangkap menjadi serius.

Habis tapis nenek kami gunakan untuk menyauk ikan kecil ini. Mulanya saya meminta sepupu lelaki menangkap ikan-ikan ini lebih banyak. Lama-kelamaan saya pun turut serta masuk ke dalam parit. Sauk sekali.

Marah nenek bukan kepalang, mananakan tidak, habis tapisnya kami gunakan untuk dibuat sauk. Ikan-ikan kecil yang kami tangkap di pulangkan semula ke parit. Nenek kami kata, baik lepaskan dari dibuat main sampai mati.

Kini nenek terlantar sakit kerana dimamah usia tua. Walaupun begitu, nenek tidak lansung meninggalkan solat. Cuma mata nenek kabur dan telinganya tidak dapat menangkap suara dengan jelas.


Sentiasa mendoakan nenek dipermudahkan urusan olehNya.


Love Hanya Untuk Yang Hak

Sengaja saya berseloroh dengan rakan mengenai lagu kegemaran apabila mahu menyanyi ketika dilanda kebosanan.
            Tenda biru dan Pelamin anganku musanah, jawab saya ringkas.
            Saya fikirkan mereka akan bersimpati apabila dua buah lagu itu menjadi pilihan saya. Sementelah saya ini masih solo molo. Makin galak pula mereka gelak.
Iyalah.. Namanya pun berseloroh. Jadi saya pun gelaklah sama, gelakkan diri sendiri.
            Pada saya, di dalam hayat ini, jika tiada senda gurau. Tiadalah kenangan manis untuk kita simpan dan senyum-senyum sendiri. Rasulullah s.a.w juga pandai bergurau. Cuma gurauan kita itu kenalah pada tempat, keadaan dan orangnya.
***
            Sebenar-benarnya, memang dua buah lagu itu antara lagu kegemaran saya, bukan sekadar suka tetapi membawa cerita tentang kisah silam yang bukan untuk dikenang tetapi perlu dikenang. Payah bukan? 

            Tidak sebenarnya.

            Perihal tentang hati, ia sebenarnya sesuatu yang sukar untuk difahami. Malahan seorang yang hebat dalam bidang sains dan matematik juga tidak mampu mengungkai masalah yang melibatkan hati.

            Bagi saya mengenang peristiwa silam, membawa kita kepada satu perkara yang baharu untuk membina diri samada kita berubah kerananya atau diubah kerananya. Ia bergantung kepada kita sendiri.


            Cuma yakinilah, letakkan Allah di dalam hati. Ia adalah anugerah sanubari yang tidak boleh dijual beli malah tidak berbelah bagi. Allah menyediakan hati itu, untuk menguji kita sebagai hambaNya. Bagaimana meletakkan “love” itu kepada yang hak.



Jenis-Jenis Doodle Yang Saya Tahu

            Carian ‘doodles’ di internet akan menemukan kepelbagaian jenis doodle, di antaranya ialah ‘mandala’,’zentangle,’mooka’,’swirl’ dan lain-lain lagi.

            Doodle mandala dilukis dalam bentuk geometrik dan simetri, adakalanya mandala dilukis dalam bentuk tumbuh-tumbuhan seperti bunga-bungaan dan dedaunan. Oleh kerana mandala ini bermaksud bulatan dalam bahasa Sanskrit lukisan ini di lukis dalam bentuk bulatan.

            Zentagle pula mengunakan kaedah lukisan corak yang berulang-ulang. Tidak spesifik kepada satu jenis corak sahaja. Banyak kaedah yang boleh dihasilkan tanpa sebarang prejudis. Corak bebas dan pelbagai.

            Mooka pula lukisannya seperti pokok taugeh. Meliuk lentuk. Menggunakan titik utama sebagai dasar permulaan melukis. Ia sangat mudah dan fleksibel kerana menggunakan satu cara sahaja.

            Semakin banyak melakukan pencarian doodle, semakin banyak perkara baharu tentang doodle ini diketahui. Melukis doodle sebenarnya tidak khusus kepada satu jenis lukisan sahaja, ia bersifat unik. Asalkan dicoret danmenjadi sebuah gambaran ringkas dan menarik, itu juga digelar sebagai doodle.

            Ia mampu meningkatkan fokus dan kreativiti dari masa ke semasa serta memberi kepuasan seni kepada pelukis. Lukisan yang santai dan menyeronokkan salah satu perkara yang mampu mengubah mood ketika menghadapi tekanan.


            Saya mahu mencabar diri untuk sentiasa belajar seni ini dengan lebih baik. Pelbagai keadah telah saya praktikkan untuk memahirkan diri melukis walaupun tidak seindah pelukis doodle yang sedia ada. Cukup sekadar mempelajari pelbagai teknik dan dalam pada masa yang sama, saya mencari identiti sendiri. Meniru hanya latihan untuk diri saya.

Contoh "Mooka Doodles"




Contoh "Zentangled Doodles"

Contoh " Mandala Doodles"

Bawalah bunga sakura balik!

           Adik akan membawa keluarganya bercuti ke Jepun. Perkara pertama yang saya minta ialah meminta dia membawa balik beberapa kuntum bunga sakura untuk saya buat sebagai penanda buku. Tidak dapat ke sana, memiliki bunga dari Negara tersebut sudah memadai bagi saya.

            Adik saya kata, bunga sakura apabila jatuh ke bumi akan berkecai. Cuma dua kuntum sahaja yang dibawa balik untuk saya sebagai hadiah dari sana. Sepanjang dia menceritakan keadaan negara matahari terbit itu, sudah mengkagumkan saya. Mereka di sana sangat ramah dan berdisplin serta sangat menghargai tetamu. 

            Misteri juga menyelubungi mereka semasa menetap disalah sebuah rumah penginapan di Jepun, yakin dengan perlindungan daripada Allah, keadaan itu hanya berlaku pada hari pertama mereka disana. Hari kedua dan seterusnya tidur mereka tidak digangu.

            Cantiknya negara Jepun bukan sahaja pada teknologi dan infrastruturnya sahaja, keindahan pada budi bahasa dan kecantikan semulajadi apabila musim tiba musim bunga menambah daya tarikan kepada negara matahari terbit itu. Di sana, apabila bunga sakura berkembang, mereka mengadakan pesta seperti berkelah bersama-sama ahli keluarga dan hiburan di sana.

            Ternyata keadaan itu sangat menyeronokkan.


            Saya pun ada mencuba untuk melukis gambar bunga sakura. Entah jadi, entahkan tidak. Sipi-sipi serupa bunga sakura pun kira okeylah. Haha...


Hidup Ini Perlu Ada Keputusan



            Masih cekal diingatan saya seorang kaunselor berpesan supaya sentiasa mengambil kira hasil yang kita buat walaupun sebesar sengengam tangan. Usaha yang sedikit itu perlu kita anggap sebagai kejayaan jika akhirnya matlamat yang kita mahu itu gagal dipenghujungnya. Gagal sekali tidak bermaksud kita akan gagal selamanya, selagi kita bangkit, berdiri, berjalan dan berlari selepas jatuh, kejayaan akan tetap menghampiri.

            Ketika saya melukis doodle ini, awal-awal lagi saya sudah mahu berputus asa. Pada pandangan saya, ia tidak kelihatan menarik dan bunga yang saya lukis seperti tidak menjadi. Terus jalan dan lukis, mengajar tangan untuk berlatih dan tidak malas, kerah idea agar lukisan ini tidak siap separuh jalan.

Di dalam hidup ini ada satu sahaja keputusan yang kita boleh buat di antara kita mahu atau tidak mahu, kita boleh atau tidak boleh, teruskan atau berhenti. Tidak akan berlaku dua kemahuan dalam satu keputusan. Begitu juga dalam organisasi di mana tempat kita bekerja ataupun berkumpulan. Maka, jadilah orang yang bijak untuk mencapai matlamat tanpa memberi mudarat kepada diri sendiri dan orang disekeliling kita.


Hidup perlu ada keputusan.


Hadiahkan Saya Sebuah Buku

Saya mendapat surat bertukar ke tempat lain dan perlu melaporkan diri dalam tempoh seminggu. Sugul menerima surat perpindahan dan bermacam perkara saya bayangkan. Perkara pertama yang saya khuatirkan adalah penerimaan mereka dengan kehadiran saya di sana nanti.

            Mulalah bermacam perihal soalan yang tidak berjawab, bagaimana pengurusannya? Bagaimana pula keadaan kelas? Murid? Guru-guru dan sebagainya saya fikirkan. Saya akui saya bukanlah seorang yang peramah dan mudah mesra. Adakalnya saya menjadi sangat pendiam apabila bercampur dengan orang-orang baharu. Malahan saya tidak pandai memulakan bicara. Kalau diam orang itu, diamlah saya.

            Anehnya saya hanya mesra kepada mereka yang kecindan. Rasa selamat dan seronok itu ada. Tidak perlu banyak berbicara hanya gelak tawa sudah menjadikan kami mesra. Sebelum saya berpindah ke tempat baharu, sudah saya maklumkan kepada mereka agar tidak membuat majlis perpisahan kepada saya. Cukuplah sekadar memberikan saya sebuah buku.

            Menjadi kenyataan apabila saya menerima hadiah sebuah buku daripada seorang sahabat. Asalnya saya berniat untuk berpindah tanpa diadakan sebarang majlis dan tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak waima rakan sekelas saya sendiri, dalam erti kata lain, saya mahu mengelak dari memberi ucapan dihadapan khalayak ramai. Gugup, kacau, haru-biru dan minda saya menjadi beku dan kosong.

            Cukuplah sekadar memberi sebuah buku, itu sudah memadai bagi saya untuk dijadikan sebagai kenangan. Walaupun bagaimanapun, keinginan untuk mengelak dari mengadakan majlis tidak kesampaian, majlis perpisahan tetap dijalankan, bertukus lumus rakan sekelas menyediakan pelbagai rancangan untuk menjayakannya. Lebih sayu, mereka menjemput ibu bapa bekas anak-anak murid saya dan pelajar sekolah menengah yang pernah menjadi anak murid saya dahulu.

            Kononnya saya mahu menahan air mata, buat seperti tidak ada apa-apa, mahu semuanya kelihatan baik. Mana mungkin saya mampu menolak untuk menahan kesedihan. Sepanjang perjalanan pulang dari sekolah saya menangis. 

Betapa tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat pertama saya diarahkan untuk bertugas. Ketika saya menulis tentang kisah ini, buku ini masih belum sempat saya membacanya.
Cantik kawan saya lukis



Lari.. Lari

            Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama saya menyertai Larian Maharani Bandar DiRaja Tahun 2017. Dahulu masa di sekolah rendah dan menengah saya menyertai larian merentas desa, itupun kerana terpaksa, Jika tiada alasan yang kukuh mahu diberikan kepada guru, sudah tentu kami akan didenda.

            Oleh kerana rakan saya memberitahu, hadiah wang tunai agak lumayan akan menjadi taruhan dari tempat pertama sehingga tempat ke 10. Sebelum hari kejadian, saya memasang azam kononnya mahu capai matlamat untuk mendapatkan kedudukan sekurang-kurangnya ditempat yang  ke 10.

            Pada hari kejadian, setibanya digarisan permulaan, azam saya sedikit goyah. Peserta-peserta yang hadir menyertai bukan calang-calang orangnya. Minah dan Mat Salleh pun turut sama menyertai. Pelari yang lain pula, saya lihat mereka memiliki jauh lebih handal berbanding saya.

            Tiupan wisel bermula, saya orang yang paling kebelakang berlari. Belum pun sampai mencecah 500 meter saya mula terasa penat dan kaki semakin berat. Kononnya mahu mendapat tempat yang kesepuluh, harapan hancur berkecai menjadi debu dan berterbangan jauh ditiup angin. Saya tabahkan juga untuk berlari, berjalan, berlari dan kemudian berjalan kembali. Paling tidaknya, saya akan berlari sedikit laju apabila polis atau pegawai yang bertugas menjaga laluan lalu lintas meniup wisel dan melambai-lambai tangan sebagai isyarat untuk segera melintas. Fuh! Degupan jantung saya kencang 3 kali ganda laju dari kebiasaannya.

            Setelah hampir 6 kilometer (jarak larian 10 kilometer), saya diminta untuk menaiki trak Majlis Perbandaran kerana masa saya melebihi tempoh polis berkawal. Mahu tidak mahu terpaksalah juga saya akur. Hajat saya, mahu sampai ke garisan penamat walaupun kedudukan saya ketika itu paling akhir sekali (bagi kategori dewasa terbuka).


            Bukan azam untuk menduduki tempat yang ke sepuluh terkubur, bahkan untuk tampil kegarisan penamat juga lebur. Kemudian gagah menunggu sehingga acara tamat kerana ada cabutan bertuah untuk peserta.  Juga tidak ada rezeki. Saya ambil pendekatan untuk hari  itu adalah hari saya menimba pengalaman.


Lavender Yang TidaK Harum

          Saya tidak dapat mengikuti program kelas ke Langkawi kerana berpindah masuk ke tempat baharu. Oleh kerana program itu telah dirancang pada awal tahun, segala dokumen dan maklumat yang mengikuti program tersebut telah di hantar ke Jabatan Pelajaran Negeri.
            Asalnya bunga ini sekadar latihan untuk murid-murid menggunakan motor halus dan kasar bagi matapelajaran seni. Melatih mereka menggunakan gunting, menggulung dan menampal kertas. Kemudian hadir seorang guru pemulihan masuk ke kelas dan memuji bunga lavender yang dibuat oleh murid-murid. Dia member cadangan bunga tersebut boleh dijual dan dijadikan pendapatan untuk kelas.

            Bagi murid-murid ini, pada permulaanya agak sukar. Banyak bunga lavender yang tidak menjadi. Belum ditambal ada yang sudah terkoyak dan ada yang sudah comot kerana terlebih gam.

            Semasa mereka semua pergi mengikuti program ke Langkawi, saya mengambil kesempatan untuk menyambung semula membuat bunga lavender menggunakan kertas A4 untuk jualan bersempena dengan hari guru yang bakal tiba.


            Perlu ada ketekunan, kegigihan dan kesabaran sepanjang menyiapkan bunga-bunga lavender ini. Kalau tidak ada tiga faktor tersebut, sudah tentu lavender kekal kepada bentuk asal iaitu sehelai kertas A4 sahaja. 


Tutorial Dilukis Oleh Saya. :)

Dia tanya, sedih-sedih itu macamana?

          Pagi ini kami bermain permainan badminton, sudah lama juga saya tidak memegang raket badminton. Baru beberapa minit bermain saya sudah keletihan dan berpeluh-peluh. Tidak sangka ada dikalangan mereka punya pukulan sampai ada yang tidak mampu saya sambut dan balas semula.

            Usai tamat waktu senaman, kami masuk ke kelas seperti biasa untuk waktu matapelajaran yang lain pula. Setibanya di kelas, Hanis mengadu kepada saya, bulu tangkisnya tersangut di bumbung pakir kereta semasa bermain bersama Yani.

            Saya beritahukan kepadanya, ia tidak apa-apa dan bulu tangkis tersebut akan jatuh sendiri apabila angin kuat meniupnya nanti. Untuk meyakinkan lagi saya kata begini,

“Awak jangan sedih-sedih, nanti kita boleh dapatkan semula. Sekiranya kalau tidak dapat semula pun tidak mengapa. Lagipun bukan awak dan Yani sengaja.”

Dia bertanya kembali.

“Sedih-sedih itu macamana cikgu?”

Saya jelaskan.

“Sedih-sedih itu antara awak mahu menangis dengan tidak mahu menangis,”

Dia berkata.

“Saya tidak rasa mahu menangis, cikgu,”
***
            Lukisan juga melahirkan perasaan, bergantung kepada pelukis yang menzahirkan ke atasnya. Kadangkala perasaan dihamparkan melalui lukisan, adakalnya pula sekadar melukis sekadar untuk suka-suka, tetapi kedua-dua keadaan ini akan tetap melahirkan satu rasa kepada yang melihat.


            Perasaan lukisan tidak akan sama seperti yang dilihat oleh penonton, ada sekadar melihat ia cantik, ada yang memahami maksud yang tersirat, ada juga yang melihat jauh pemikirannya daripada pelukis yang melukis. Persamaan perasaan itu tidak selalunya sama. 
Dia Maha Pemberi Ilham

Nilai Lukisan

            

           Saya masukkan lukisan ini di dalam “facebook”, tidak lama selepas itu, saya menerima pesanan melalui WhatsApp daripada salah seorang bekas rakan animasi yang sama-sama bertugas di syarikat lama tempat saya pernah bekerja dahulu.

            Beliau memegang jawatan sebagai “Key Animator” semasa bertugas di syarikat dahulu dan kini beliau bekerja sebagai illustrator dan  menyumbang hasil seninya untuk kulit buku, majalah (kartun) dan karya beliau pernah di intai pasaran antarabangsa.

            Beliau ternampak lukisan doodle saya di “facebook” dan menyarankan kepada saya, lukisan tersebut discan dan dijadikan sebagai merchandise.

“ Kalau pasaran Malaysia boleh cuba di  Creative United semuanya menggunakan online. Daftar percuma dan boleh memulakan dengan membuat pilihan untuk dijadikan produk yang sesuai. (Senarai produk seperti totebag, mug, canvas dan lain-lain telah disediakan di dalam web tersebut)”

“ Kita akan dibayar royalty bergantung kepada hasil yang telah terjual,”

            Beliau memberikan dorongan kepada saya untuk mengembangkan lagi hasil seni ke pasaran yang lebih luas, jika tidak hasil seni akan terperap begitu sahaja. Sayangnya, kebanyakkan hasil seni asal saya, saya tidak simpan dan scan. Cuma beberapa karya kecil saya sahaja yang sempat saya simpan.

            Saya merasakan tidak yakin ditambah pula dengan perasaan malu yang tinggi dan hanya mampu melukis lukisan yang mudah sahaja. Saya  perlu banyak berlatih serta perlu belajar asas seni lukisan untuk menjadikan saya lebih mahir malah mampu melukis dengan lebih baik. Saya perlu berusaha untuk mendaftarkan diri ke kelas seni lukis.

            Setelah saya melihat web tersebut, saya merasakan sangat kerdil dalam cabangan seni ini. Kagum melihat hasil lukisan mereka yang sangat menarik dan cantik sekali. Mulianya Allah member mereka dengan kebolehan tangan dan minda yang bijak untuk melukis dengan cantik sekali. Cemburu.
           
            Sejurus itu, saya membalas pesanan dengan mengatakan kepada beliau, bahawa saya tidak ada kebolehan seperti mereka. Mana mungkin hasil saya mampu menjadi perhatian kepada pembeli. Ini kata beliau,

“ In Shaa Allah, perlahan-lahan. Smeua perkara tidak datang dengan mudah. Kadang-kala perlu berusaha lebih sedikit atau banyak daripada orang lain,”

“ Belek-belek (lihat-lihat) dahulu contoh artis-artis lain di dalam web tersebut, bukan untuk meniru, tetapi untuk melihat dan cari idea apa yang boleh kita buat,”


“Dan perlahan-lahan wujudkan keyakinan diri, asah minat lebih mendalam. Seni ini banyak cabangannya, tidak salah jika kita belajar berdikit-dikit. Kita mahukan kualiti. Bakat kita itu, hadiah dari Allah,  jangan buang masa dan terus-terusan berusaha.”

Doodle ke Warna Air

            Saya mencuba kelainan dari melukis doodle kepada lukisan menggunakan warna air,  jatuh hati kepada seni ini semasa pertama kali melihat rupa baharu TVAl-Hijrah pada awal tahun 2017 yang menggunakan “bunga sakura” sebagai lukisan latar.

             Apabila saya membuat carian mengenai lukisan air ini, rupa-rupanya terdapat pelbagai jenis atau teknik lukisan menggunakan cat air, bahkan teknik menghasilkan sesebuah lukisan juga ada perbezaannya.

            Minat saya lebih terarah kepada lukisan bunga menggunakan cat air, pada saya lukisan ini lebih mudah dan senang untuk saya ikut perlahan-lahan. Malah untuk meniru tekniknya juga tidak terlalu sukar.

            Menonton dan membuat carian di Youtube dan google adalah semata-mata untuk mempelajari teknik menghasilkan serta menjadikan ia sebagai satu pembelajaran untuk saya ketahui sebagai satu titik tolak kepada permulaan apa yang saya akan buat.
          
           Latihan berkali-kali, tidak menjejaskan tahap keinginan saya untuk mendapatkan hasil yang lebih menyerupai bentuk bunga dan inilah hasilnya.




             Medium yang digunakan ialah kertas lukisan, berus lukisan (berbentuk tirus dihujung) dan warna air.


            Kesimpulannya, apabila kita mahu melakukan sesuatu, perlu ada kesungguhan dan tidak sesekali berputus asa untuk melakukannya. Sekiranya kita bangkit selepas gagal, kita tidak akan rugi tetapi kita akan peroleh kepuasan dalam mencapat apa jua matlamat walaupun sebesar hujung mata pensel dan itu juga dipanggil KEJAYAAN.